Usul RUU 355 Abdul Hadi menggelongsor ke kedudukan ke-11

Usul RUU 355 Abdul Hadi menggelongsor ke kedudukan ke-11

Rang Undang-undang Persendirian Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 1965 atau RUU 355 jatuh ke kedudukan ke-11 daripada ke-6 sebelum ini.

Ini ekoran tindakan kerajaan memasukkan lima rang undang-undang baharu dalam senarai usul yang perlu dibincangkan pada sesi Dewan Rakyat yang bersidang sekarang.

Antara rang undang-undang baharu itu adalah Rang Undang-undang Setem (Pindaan) 2016 oleh Menteri Kewangan; Rang Undang-undang Timbang dan Sukat (Pindaan) 2017 oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; dan Rang Undang-undang Perdagangan Strategik (Pindaan) 2017 oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Dua lagi rang undang-undang baru yang bakal dibentangkan adalah Rang Undang-undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2017 oleh Menteri Pendidikan Tinggi; dan Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2017 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menggelongsor ke kedudukan ke-11 dalam senarai usul, jelas peluang Abdul Hadi yang juga Presiden Pas untuk membentangkan usul RUU 355 buat kali ketiga setelah ditangguhkan beliau sebanyak dua kali tidak kesampaian pada sesi Dewan Rakyat kali ini.

Apatah lagi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Kerajaan BN akan membentangkan sendiri RUU 355 di sidang Parlimen kali ini.

Dipetik Utusan Malaysia, 18 Mac lalu, Ahmad Zahid berkata, tindakan itu selaras hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang begitu komited mengetengahkan hasrat berkenaan tanpa mengganggu-gugat kepentingan kaum dan agama lain di negara ini.

Timbalan pengerusi BN itu berkata, perkembangan itu memperlihatkan kerjasama kerajaan BN dengan “rakan baru” yang pernah menjadi musuh politik untuk bersama memelihara kesucian agama Islam dan kedaulatan bangsa.

“RUU 355 akan dibentang sendiri oleh kerajaan di Parlimen tidak lama lagi. Insya Allah dengan doa untuk kita menyatukan orang Melayu. Biarlah kita kehilangan segelintir ‘kawan’ kita, tapi kita akan dapat ‘kawan baru’ yang kumpulannya lebih besar bersama kita.

“‘Kawan baharu’ kita ini mungkin dulu musuh politik kita, tapi mereka sudah faham untuk sama-sama tangani masalah (berkaitan Islam) dengan tidak mengetepikan agama lain,” jelasnya.

TAGS