Malaysia Dateline

Usul selamatkan Tabung Haji diterima dan dibahaskan

Sebanyak empat usul yang diterima dan akan dibahaskan di dalam Konvensyen AMANAH yang akan berlangsung petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Usul Khalid Samad memberitahu perwakilan empat usul yang diterima itu antaranya, pembinaan semula ekonomi di bawah naungan Malaysia Baharu yang akan dibentangkan oleh perwakilan Pasir Salak.

Usul daripada perwakilan Kulai juga diterima dan dibahaskan akan menyentuh gagasan Rahmatan Lil Alamin menjadi agenda utama negara.

Usul ketiga daripada Angkatan Wanita AMANAH (Awan) yang akan menggesa Malaysia menjadi lebih proaktif dalam menangani krisis di Yaman.

Dan usul keempat akan dibawa oleh wakil AMANAH Nasional yang akan menyatakan solidariti umat Islam untuk selamatkan Tabung Haji.

Menurut Khalid, 10 usul lagi telah diterima tanpa bahas manakala ada beberapa usul yang telah ditolak kerana tidak menepati format usul yang ditetapkan konvensyen.

Selain itu, Khalid juga memberitahu usul ditolak kerana tidak wajar untuk AMANAH melaksanakan kerana ia melibatkan portfolio agensi kerajaan.

“Usul yang ditolak juga kerana usul tersebut tidak perlu diusulkan dan hanya dibincangkan di peringkat jawatankuasa nasional dan boleh diselesaikan,” katanya.