Malaysia Dateline

Usul SOSMA ditolak: Umno-BN bangkitkan isu PH cabul MoU hanya helah

Usul SOSMA yang ditolak semalam menyaksikan Umno-BN lebih galak membangkitkan isu pencabulan MoU oleh Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Razak Ridzuan berkata, Umno-BN dilihat tidak pula mempersoalkan komitmen kehadiran ahli-ahli Parlimen pihak kerajaan.

“Sikap berpura-pura yang dibuat oleh Umno-BN dilihat hanya sebagai helah untuk memanipulasi kempen ‘kestabilan’ mereka.

“Walhal, merekalah (terutamanya kluster mahkamah) yang menjadi punca huru-hara politik Malaysia pasca PRU 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan kegagalan meluluskan usul yang sememangnya melanggar hak asasi manusia itu berpunca daripada Ahli Parlimen Kerajaan yang tidak hadir untuk undi menyokong terutamanya ahli-ahli Parlimen Umno-BN.

Usul SOSMA ditolak: Umno-BN bangkitkan isu cabul MoU hanya helah
Razak Ridzuan

Semalam, sejarah telah tercipta di Dewan Rakyat apabila kerajaan gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi.

Keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.

Mengulas lanjut, Razak berkata, Umno dalam perhimpunan mereka yang terbaharu juga mendesak agar Parlimen dibubarkan dalam kadar segera.

“Desakan ini dibuat dipercayai bagi mengambil manfaat daripada perpecahan undi pembangkang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda AMANAH Nasional menyeru agar pengundi dan penyokong pembangkang bangkit dengan penuh semangat berarak sekali lagi ke peti-peti undi menolak Umno-BN dan tongkat mereka pada PRU-15.

Tindakan itu, tambahnya, bagi menyatakan pendirian yang jelas menolak pendekatan politik lapuk dan rasis perkauman termasuk menghukum penyamun-penyangat yang telah menghina akal budi rakyat Malaysia.

Baca juga:

Baca juga: