Usul SOSMA tidak ada dalam MoU, MP kerajaan perlu dipersalahkan tidak hadir parlimen

Oleh NASUHA RAHMAN

Usul subsekyen 4(5) kta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA yang ditolak semalam tidak ada di dalam memorandum persefahaman (MoU) apatah lagi usul ini tidak pernah dibincangkan dengan pembangkang dan tidak mendapat persetujuan pembangkang.

Umum mengetahui bahawa memorandum persefahaman (MoU) antara pembangkang dan kerajaan adalah diwujudkan setelah DYMM YDPA telah membuat titah mengenai keperluan untuk diwujudkan kestabilan politik. Kestabilan politik Malaysia berada dalam caca-marba setelah berlakunya Langkah Sheraton.

MoU juga dibuat setelah usaha Ketua Pembangkang untuk mengambil alih kerajaan pasca Langkah Sheraton telah menemui jalan buntu. Hampir 2 tahun usaha mengambil kerajaan itu berjalan dan justeru banyak usaha ditumpukan ke arah itu akhirnya masa dan tenaga terbuang begitu sahaja sehinggakan banyak isu-isu negara telah terabai tanpa ulasan tuntas daripada pembangkang.

Semalam (23/3/2022) usul oleh Menteri Dalam Negeri untuk membolehkan tahanan SOSMA ditahan selama 28 hari telah ditolak apabila dibuat undian belah bahagi. Kini, muncul semula kata-kata seruan daripada pemimpin Umno bahawa MoU telah terbatal disebabkan pembangkang tidak menyokong usul tersebut.

Sebenarnya kestabilan politik ini boleh wujud dengan MoU ini. Ini terbukti bahawa setelah Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, tiada lagi usaha-usaha untuk mengambil alih kerajaan. Beberapa rang undang-undang telah diluluskan dengan sebaiknya kerana kerajaan masih lagi mempunyai majoriti di Parlimen.

Kegagalan untuk meluluskan usul berkaitan SOSMA itu sepatutnya ditujukan kepada ahli parlimen kerajaan yang mengambil remeh untuk hadir dalam persidangan Parlimen.

Mereka sepatutnya tahu dan hadir pada masa yang tepat untuk mengundi di Parlimen. Mereka tidak boleh menyalahkan MoU dan pembangkang kerana hal tersebut tidak termasuk dalam MoU disebabkan usul SOSMA ini tidak pernah dibincangkan dengan pembangkang dan tidak mendapat persetujuan pembangkang.

Usul SOSMA tidak ada dalam MoU, MP kerajaan perlu dipersalahkan tidak hadir parlimen
Dr Zulqarnain Lukman

Adalah jelas bahawa suara-suara yang mahukan PRU 15 dibuat segera dan menamatkan MOU ini adalah disebabkan mereka fikir mereka boleh menang PRU 15. Mereka menggesa Perdana Menteri untuk segera membubarkan Parlimen.

Apakah Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk membubarkan Parlimen? Tentu sekali tidak. Perdana Menteri tidak berkuasa untuk membubarkan Parlimen. Perdana Menteri hanya boleh membuat permintaan untuk membubarkan Parlimen kepada YDPA dan YDPA mempunyai kuasa prerogatif untuk menerima atau menolak permintaan tersebut.

Usah diperkecilkan kuasa YDPA ini. YDPA mempunyai kuasa mutlak di bawah Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan untuk menolak pembubaran ini. Pihak yang menggesa pembubaran ini juga perlu berfikir dengan lebih lanjut bahawa sekiranya YDPA menolak pembubaran ini maka akibat perit yang bakal ditanggung oleh Umno adalah mungkin berlakunya pertukaran Perdana Menteri sekali lagi jika pembangkang PH bergabung dengan PN dalam Parlimen.

Dalam PRN Johor baru-baru ini, Pengerusi PN sendiri banyak kali berceramah mengenai kebobrokan Umno untuk kembali berkuasa. Pastinya Pengerusi PN itu sendiri berasa amat jelek dengan Umno pada ketika ini disebabkan beberapa langkah Umno yang telah mengguling Menteri Besar PPBM di Perak dan Johor serta mengguling beliau sendiri sebagai Perdana Menteri.

Adakah wajar YDPA membubarkan Parlimen pada masa sekarang? Sultan Nazrin Shah sendiri telah bertitah dua hari lepas bahawa institusi diraja ini bukanlah setakat ‘decorative ornament’ atau ‘permata yang dijadikan barang hiasan’ semata-mata. Raja-raja perlu menjadi satu mekanisme berkesan untuk menjamin kedaulatan negara.

Dalam hal ini, YDPA perlu melihat kesan jika PRU 15 diadakan sekarang di kala rakyat baru sahaja ingin pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

Apa yang jelas bahawa kos untuk PRU 15 ini akan mencecah RM1 billion semata-mata untuk memuaskan hati Umno untuk kembali berkuasa.

Kita melihat bahawa PRN Melaka dan Johor yang lepas juga tidak menghasilkan apa-apa nilai tambah kepada kedua-dua kerajaan negeri tersebut melainkan berlaku pemusatan kuasa keterlaluan kepada Umno dan BN.

Seperti mana yang dibentangkan oleh Ilham Centre bahawa kemenangan BN ini sebenarnya bukan menunjukkan mandat rakyat yang sebenar kerana peratusan yang turun mengundi adalah sangat kecil dan kemenangan BN ini adalah semata-mata kemenangan tektikal dan teknikal.

Hal ini adalah satu perkembangan yang tidak sihat kepada demokrasi sekiranya trend pengundian rakyat Malaysia bagi PRU 15 adalah sama seperti PRN Johor dan Melaka.

Justeru, amat wajar sekiranya YDPA menolak permintaan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dalam waktu terdekat sekiranya ianya dibuat dan biarlah sesi kali ini berakhir pada tahun 2023 apabila mandat 5 tahun telah tamat dan rakyat semakin pulih daripada bencana pandemik serta lebih bersedia untuk turun mengundi.

Baca juga: