Malaysia Dateline

Usul tidak percaya kepada PM: Kit Siang persoal keberanian Art Harun

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoal keberanian Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk bertindak bercanggah dengan kepentingan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, Azhar atau Art Harun perlu bersedia untuk menunjukkan keberanian terhadap apa yang diyakini dan meletakkan jawatan Speaker yang disandang sebagai taruhan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berpendapat Art Harun pada masa ini berada dalam situasi sempit berhubung usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibentangkan pada Sidang Dewan Rakyat akan datang.

Kit Siang berkata, Art Harun pada tahun 2015 pernah mengatakan sebarang usul tidak percaya kepada kerajaan “melalui konvensyen atau amalan berperlembagaan, dan bukan melalui undang-undang” harus menjadi perkara pertama urusan mesyuarat Parlimen.

“Namun, sebagai seorang Speaker, Azhar telah mengatakan yang mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, sebarang usul dan urusan bukan kerajaan hanya boleh dibawa ke hadapan dalam aturan urusan mesyuarat jika mendapat sokongan seorang menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, lima Ahli Parlimen Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diketuai Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin pada 15 Oktober lalu.

Mereka membuat permohonan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Muhyiddin sebagai Ahli Parlimen Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Kit Siang berpendapat Art Harun boleh bertindak di bawah peruntukan Perkara 90 (1) Peraturan Mesyuarat untuk membenarkan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri dibentangkan sebagai urusan pertama mesyuarat Dewan.

“Pada hari pertama persidangan, (Art Harun) membenarkan usul daripada pencadang usul tidak percaya ini untuk menggantung mana-mana Peraturan Mesyuarat, dan membentangkan masalah ini untuk diputuskan tanpa dibahas.

“Namun, Azhar perlu bersedia untuk menjadi Speaker Dewan Rakyat yang berkhidmat untuk tempoh yang lebih pendek berbanding dengan Speaker sebelumnya, Mohamad Ariff Md Yusoff,” ujarnya lagi.