Malaysia Dateline

Usul undi percaya pada Muhyiddin, Pas yakin dapat sokongan majoriti

Pas mengemukakan usul undi percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibentangkan serta dibahaskan dalam persidangan Parlimen yang akan bermula pada 13 Julai ini

Menurut Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan, usul ini dibuat bagi menzahirkan sokongan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Muhyiddin yang telah menunjukkan prihatin serta mengutamakan rakyat sejak menerajui pentadbiran negara pada Mac lalu.

Pas yakin kepimpinan Muhyiddin akan terus mendapat sokongan malah sanjungan dari rakyat jelata pelbagai kaum dengan perkhidmatan terbaik atas sokongan dan komitmen seluruh jentera kerajaan sama ada peringkat Persekutuan mahupun sebahagian besar kerajaan negeri.

Katanya, segala pakej rangsangan ekonomi yang digerakkan oleh kerajaan pula telah disambut baik oleh semua sektor yang bergerak serentak ke arah pemulihan ekonomi negara.

Pas amat yakin usul ini akan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen apabila dibentangkan nanti.

“Dengan sokongan yang bakal diberikan sudah pasti akan terus mewujudkan kestabilan negara dan kemakmuran bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

PN dikatakan mempunyai majoriti tipis tiga kerusi parlimen sementara PH pula berusaha mengambil alih semula kerajaan persekutuan yang dibentuk daripada mandat rakyat pada PRU14 lalu.

PH dan sekutunya, yang digelar sebagai PH Plus, mendakwa memiliki sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan dan sebelum ini merancang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.