Usul undi percaya Pas: Komponen PH juga perlu sokong Mahathir, kata Penganalisis

Usul undi percaya Pas:  Komponen PH juga perlu sokong Mahathir, kata Penganalisis

Pengisytiharan Pas yang akan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui usul undi percaya di Dewan Rakyat, wajar dilihat sebagai ‘peringatan’ agar kesemua anggota dewan untuk terus menyokong pentadbiran beliau.

Malah, dikala konflik peralihan kuasa terus memuncak sehingga mencetuskan perang dingin antara pemimpin PH, usul dikemukakan pihak pembangkang itu menggambarkan pentadbiran Mahathir itu berjaya mengamalkan demokrasi sepanjang perjalanan politiknya.

Md Shukri Shuib

Perkara tersebut ditegaskan penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib yang berkata, usul tersebut juga antara lain jelas memaparkan peranan pemangku menteri pendidikan itu sebagai seorang negarawan yang dihormati semua pihak termasuk parti lawan.

“Pertama kali dalam sejarah negara di mana sebuah parti pembangkang menjadi pendokong kepada Institusi Perdana Menteri biarpun wujudnya perbezaan politik kepartian.

“Dr Mahathir kini sebagai satu institusi tersendiri yang mampu memainkan peranan sebagai institusi pengimbang diantara blok kerajaan dan pembangkang.

“Ini dinamakan Mahathirokrasi iaitu peranan Dr Mahathir yang dapat menyaksikan perjalanan politik demokrasi Malaysia tidak pernah berpisah,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline

Tambah Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa itu lagi, langkah yang dibuat Pas perlu diakui sebagai langkah berani dan berbeza yang menyaksikan kematangan parti itu dalam berpolitik.

Jelasnya, ia juga harus dipuji oleh kerana usaha tersebut tidak dibawa ke jalanan oleh Pas dan parti lawan lainnya.

Namun ia dijalankan secara rasmi di dalam Dewan Rakyat secara sah.

“Ini adalah satu langkah demokrasi profesional yang perlu dikaji dan dilihat, di mana menurutnya adalah satu perkiraan luar biasa biarpun semestinya dia mempunyai motif tersendiri.

“Ia adalah langkah bertamadun dalam sebuah negara demokrasi dan dilakukan secara profesional, ini adalah satu kematangan politik yang jelas,” ujarnya.

Pada 8 Februari lalu Presien Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu akan membawa usul percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang dewan rakyat yang akan berlangsung pada Mac depan.

Ia bagi menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir. sebagai satu usaha untuk meredakan ketidakstabilan politik negara hari ini yang dilihat mengganggu Perdana Menteri menjalankan tugasnya.

Pas dijangka akan menghantar Usul percaya lebih awal untuk diteliti oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat.