Malaysia Dateline

Utamakan rumah jagaan wargatua, kata JK Vaksinasi Covid-19 PH

Kerajaan Persekutuan harus mengutamakan warga tua, terutama mereka yang menginap di rumah penjagaan warga emas,  dalam Fasa 1 Program Vaksinasi Kebangsaan bagi mengurangkan beban kesihatan dan kadar kematian akibat Covid-19.

Ini kerana golongan ini mudah terkena jangkitan dan menyebabkan gejala yang lebih teruk dan kemungkinan kematian yang lebih tinggi kerana usia dan penyakit lain yang sering dihadapi warga tua.

Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan mereka berkata, pengumuman mengenai kluster yang melibatkan rumah jagaan warga tua membuktikan adanya keperluan  besar untuk memberi pengutamaan vaksinasi kepada warga emas.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Dr Dzulkifly Ahmad (Kuala Selangor), Dr Lee Boon Chye (Gopeng), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching),  Dr Hatta Ramli (Lumut), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Dr Ong Kian Ming (Bangi), Dr Siti Maria (Exco Kesihatan Selangor), Dr Norlela (Exco Kesihatan Pulau Pinang),  dan Veerapan (Exco Kesihatan Negeri Sembilan).

Setakat ini kluster yang melibatkan warga tua iaitu Geronggang dan Mas Merah di Sarawak yang setakat ini telah melaporkan 51 kes positif dan 1 kematian dan kluster Jalan Cheras yang melaporkan 24 kes.

Menurut mereka, masalah sebaran wabak Covid di rumah jagaan warga emas tidak hanya terhad di Malaysia tetapi juga merupakan fenomena global.

Kes terburuk dilihat di Kanada, di mana kira-kira 80 peratus daripada semua kematian Covid-19 berlaku di rumah jagaan warga emas.

Di UK dan Amerika Syarikat, sekitar 30-4o peratus daripada semua kematian Covid-19 berlaku di rumah jagaan warga emas.

Kematian di rumah penjagaan warga emas merangkumi kira-kira separuh daripada semua kematian di 21 negara maju, kata kenyataan itu.

Anggaran 6.5 peratus dari semua penduduk rumah jagaan di United Kingdom meninggal dunia pada minggu pertama wabak Covid-19.

Di Malaysia, daripada 2.3 juta orang di atas usia 65 tahun, sekitar 30,000 hingga 40,000 tinggal di rumah jagaan warga emas dan terdapat 8,000 pekerja di rumah-rumah jagaan ini.

Di Malaysia dianggarkan sekitar 1,500 rumah jagaan di mana hanya 350 adalah berdaftar.

“Risiko kematian bagi rumah penjagaan warga emas adalah sangat tinggi. Warga emas yang tinggal di rumah jagaan sangat rentan bukan hanya kerana keadaan kesihatan mereka tetapi juga kerana keadaan hidup mereka yang sesak.

“Itulah sebabnya langkah proaktif diperlukan untuk melindungi bukan sahaja kesihatan warga emas tetapi juga pekerja yang menjaga mereka,” kata mereka.

Bagi mereka, melalui program vaksinasi dan melindungi mereka yang berada di rumah jagaan warga emas dalam Fasa 1, kita dapat menurunkan angka rawat inap terutama bagi mereka yang dirawat dengan gejala yang lebih teruk.

“Ini juga akan mengurangkan kadar kematian keseluruhan dan ini akan mengurangkan beban hospital dan barisan hadapan kita,” kata kenyataan itu lagi.

“Itulah sebabnya kami mendesak agar Kerajaan Persekutuan melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk memasukkan penginap rumah penjagaan warga emas yang berdaftar dan tidak berdaftar dalam Fasa 1 Program Vaksinasi Nasional.

“Rumah jagaan warga emas boleh menjadi penyebar virus besar jika tindakan pencegahan proaktif tidak diambil,” kata mereka.