Malaysia Dateline

Utamakan kestabilan negara, bukan perebutan kuasa, kata Ikram

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mengingatkan ahli-ahli politik agar tidak terus mengabaikan kepentingan negara dan rakyat di sebalik kemelut yang berlaku hari ini.

Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, menegaskan agar ahli-ahli parti politik berfikiran rasional dengan mengutamakan kestabilan negara dan bukannya menyemarakkan lagi dengan isu perebutan kuasa.

Beliau berkata, ketidakstabilan yang berlaku menyebabkan rakyat merasa kecewa dan bimbang kerana terpaksa berdepan bukan sahaja dengan keadaan ekonomi yang semakin meruncing bahkan berdepan dengan jentera pentadbiran negara yang tidak menentu.

“Kemelut politik semasa juga telah menjejaskan kedudukan ekonomi serta kesejahteraan perniagaan dan rakyat, termasuklah kejatuhan teruk Bursa Saham Kuala Lumpur.

“Ikram menyarankan agar kabinet kerajaan yang bakal dibentuk nanti dilantik dalam kalangan pemimpin yang kompeten dan berintegriti yang mampu memacu negara ke arah kestabilan dan kemakmuran.

“Saya memohon agar semua rakyat Malaysia berdoa agar negara Malaysia akan terus aman dan dapat mengatasi kemelut politik yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang akan bertindak dengan adil dan bijaksana bagi menangani situasi yang kritikal ini bagi mengembalikan kestabilan negara.

Mohd Parid berkata, rakyat Malaysia diharapkan agar sentiasa tenang dan bersabar serta mengelakkan perbalahan disebabkan perbezaan pandangan dan ideologi politik.

Ikram turut menyarankan agar semua rakyat Malaysia terus berdoa agar kemelut ini segera selesai dan menyeru kepada umat Islam untuk mengadakan solat hajat memohon keselamatan dan kesejahteraan untuk negara Malaysia tercinta.