Malaysia Dateline

Utamakan suntikan vaksin kepada guru, kakitangan sekolah selepas petugas kesihatan

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional menegaskan golongan guru adalah pekerja barisan hadapan yang harus diberi keutamaan menerima vaksin Covid-19 secepat mungkin, selepas kakitangan kesihatan dan perubatan.

Ketuanya, Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, semua orang sama ada pelajar, kakitangan sekolah dan keluarga mahu sekolah kembali dibuka sepenuhnya dengan segera.

“Namun, harus diinsafi dan dicermati bahawa kehendak dan kemahuan itu mestilah dilaksanakan dalam keadaan selamat, dan dijamin keselamatannya oleh pemerintah.

“Ini tugas dan tanggungjawab hakiki mana-mana kerajaan sekalipun.
Dan saya bersama dengan semua kehendak dan harapan ibu bapa, pelajar, guru-guru dan masyarakat ini,” kata Ahli Dewan Negara berkenaan dalam kenyataannya hari ini.

Untuk rekod, murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara akan kembali ke sekolah pada 1 Mac ini.

Bagi murid Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam, mereka akan mula bersekolah pada 8 Mac.

Athirah berpendapat para pendidik perlu dipindahkan untuk lebih dekat ke garis hadapan bagi mendapatkan vaksin Covid-19.

Hal ini, ujarnya, perlu dilakukan lebih cepat daripada perancangan sebelumnya yang juga tidak pernah dijelaskan secara khusus bila tempohnya.

Walhal, katanya, pendidik dan kakitangan sekolah sebenarnya berhadapan dengan saat-saat kritikal pada setiap hari dalam perkhidmatan mereka, dan mereka berurusan dengan murid yang bukan sedikit.

“Justeru, perlu untuk kita semua – seluruh rakyat dan entiti negara ini sepakati bersama bahawa guru-guru dan kakitangan sekolah adalah pekerja barisan hadapan, dan kita semua mahu sekolah kita dibuka secepat mungkin.

“Terdapat banyak alasan untuk kita segera membuka kelas-kelas persekolahan, dan semua itu cukup untuk menjadikannya alasan utama mengapa kita harus sepakat mengutamakan pemberian vaksin kepada guru-guru dan kakitangan sekolah, selepas kakitangan kesihatan dan perubatan,” kata Athirah lagi.