Utamakan teknologi hijau berbanding bina infrastruktur nuklear

Utamakan teknologi hijau berbanding bina infrastruktur nuklear

Pakatan Harapan membantah keras cadangan kerajaan  berkaitan pembinaan infrastruktur nuklear di negara ini kerana kos dan risikonya terlalu besar.

Datuk Seri Nancy ShukriPakatan Harapan membantah keras cadangan kerajaan  berkaitan pembinaan infrastruktur nuklear di negara ini kerana kos dan risikonya terlalu besar.

Dalam satu kenyataan bersama oleh Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh (PKR), Pengarah Strategik Amanah Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Kelang Charles Santiago (DAP) menjelaskan, Pakatan Harapan berpandangan, cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri itu disifatkan sebagai suatu langkah regresif.

“Malah, negara luar seperti Jerman juga sudah melupakan cadangan sedemikian selepas tragedi nuklear Fukushima, sebaliknya beralih kepada tenaga kincir angin. Pembinaan infrastruktur nuklear juga berbahaya jika berlaku gempa bumi.

“Sekalipun Malaysia tidak tergolong dalam negara di garis gempa bumi tetapi kajian menunjukkan garisan itu sudah berubah sejak kejadian gempa di Gunung Kinabalu, Sabah,” ujar kenyataan itu.

Pakatan Harapan menjelaskan hal ini dengan merujuk sebuah sesawang Ucsusa.com yang menyatakan dalam perbelanjaan pembinaan generator dan penyelenggaraannya, amat tinggi iaitu antara $2 hingga $4 bilion, malah boleh mencecah $9 bilion (RM40.5 bilion). Kos kilowatt per hour juga tinggi.

“Pakatan Harapan khuatir kos semahal itu akhirnya terpaksa ditanggung rakyat apabila harga pelbagai barangan naik akibat kesan domino.

“Sedangkan, rakyat terhimpit dengan bebanan pelbagai kenaikan harga.

“Lagi pula, reputasi kerajaan Umno-BN berdasarkan rekod pembinaan projek mega di negara kurang memuaskan, umpamanya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu runtuh pada 2013.

“Kami turut khuatir tragedi sedemikian berulang akibat kesilapan atau kecuaian ketika pembinaan dan operasi, selain kemungkinan juga wujud unsur rasuah,” jelasnya.

Justeru Pakatan Harapan berpendapat, kerajaan sepatutnya mengetengahkan teknologi hijau, bukannya mengembangkan pembangunaan infrastruktur nuklear yang berisiko besar.

Umpamanya, Malaysia harus mengoptimumkan upaya teknologi solar, lebih-lebih lagi negara ini memiliki kelebihan kerana menerima cahaya matahari sepanjang tahun.

Malaysia juga boleh meneruskan kajian R&D berkaitan tenaga ombak yang pernah dijalankan universiti di negara ini. Malah, kerajaan sepatutnya mencari jalan untuk mengkomersilkannya.

Malaysia juga ada pilihan lebih baik dengan mengutamakan teknologi biojisim. Biojisim adalah teknologi pembakaran sisa tumbuhan dan haiwan yang mampu menjana tenaga elektrik. Secara tidak langsung, ia juga boleh mengurangkan masalah sampah sarap di Malaysia.

Pada 7 Mac lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata, laporan akhir Kajian Infrastruktur Nuklear Bersepadu (INIR) Misi Fasa 1 akan dibentangkan kepada kabinet minggu depan.

Penilaian tiga fasa, yang dimulakan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), memuktamadkan bahawa Malaysia sudah bersedia sepenuhnya, dan telah membangunkan asas pengetahuan yang baik untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat bagi memperkenal kuasa nuklear.

Nancy berkata Malaysia mempunyai 30 hari untuk maklum balas terhadap cadangan yang dibuat dalam laporan itu, yang menilai status negara baharu yang berminat dan tahap kesediaan untuk membangunkan program tenaga nuklear.

Malaysia ujarnya  mahu meneroka pilihan untuk menggunakan tenaga nuklear bagi memenuhi permintaan masa depan dan mempelbagaikan gabungan tenaga bagi Semenanjung Malaysia.

Bagi membangunkan infrastruktur yang diperlukan untuk program tenaga nuklear, negara akan menjalankan tindakan serius untuk membangunkan sumber manusia mampan, berstruktur dan cekap.

TAGS