Utusan gulung tikar, pengharaman Detik dan kes Harakah: Catatan pengalaman

Ahmad Lutfi OthmanSudah banyak komentar dan ulasan tentang penutupan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo. Kumpulan Utusan adalah syarikat penerbitan bahasa Melayu yang berpengaruh dan lama bertapak di negara ini, serta meninggalkan impak agak besar terhadap dunia kepengarangan saya.

Saya mengenali dan tertarik dengan akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman (jawi) lebih awal daripada Utusan Malaysia dan edisi ahadnya. Balik dari sekolah rendah, saya menunggu-nunggu kepulangan abang ipar bersama Utusan Melayu di beranda rumah. Antara helaian yang menjadi tumpuan adalah ruangan berita luar negara, terutama ketika meletus perang Arab-Israel, sekitar hujung 1973. Semacam ketagihan berakhir dengan kepuasan menatap akhbar ini.

Ketika berjinak-jinak dengan Utusan, saya masih di sekolah rendah. Justeru, saya tidak mengikuti sangat pergolakan politik tanahair. Namun begitu, abang ipar saya yang melanggan Utusan Melayu dan hampir semua orang kampung merupakan penyokong kuat Pas. Parti Islam itu merupakan komponen Barisan Nasional dalam kerajaan.

Meskipun Pas kemudiannya keluar BN ekoran krisis politik di Kelantan pada 1977-78, saya tidak terasa ada kempen untuk memulau Utusan. Akhbar itu tetap kami langgan. Banyak lagi kandungan bukan-politik yang menarik minat, termasuk ruangan kartun/komik, sukan, sastera dan hiburan. Perlahan-lahan saya didedahkan dengan tabloid politik, yang dilihat condong menyiarkan berita pembangkang, seperti Watan, Mingguan Tanahair, Bumi. Sebenarnya waktu itu, walaupun saya juga penyokong tegar Pas, tidak pula saya menganggap Utusan umpama lidah rasmi Umno.

Awal 1980-an, saya menuntut di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur dan menyaksikan peralihan kepemimpinan Pas, yang menumbangkan Almarhum Datuk Asri Muda dan kebangkitan era ulamak. Masa sama pengaruh revolusi Islam Iran begitu kuat. Pertembungan Pas dengan pemerintah menjadi semakin tajam. Saya mula menyumbang rencana untuk akhbar-akhbar politik tadi.

Saya semakin menyedari kaitan erat Umno dan Utusan menjelang PRU1986. Ia merupakan pilihan raya umum kedua diterajui Dr Mahathir Mohamad. Cabarannya daripada pembangkang yang berpecah, iaitu DAP dan Pas yang mengetuai pakatan longgar oposisi kecil. Pas kelihatan garang tetapi dipimpin tokoh-tokoh yang agak kurang berpengalaman dalam pilihan raya. Dua tokoh lebih menonjol, Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Ustaz Abdul Hadi Awang, walaupun presidennya, Yusof Rawa. Peristiwa Memali yang mengorbankan 18 nyawa melatari kempen yang kelihatan tegang itu.

Saingan pembangkang nampak sengit. BN juga dihimpit pelbagai isu kritikal. Buat pertama kali saya menyedari BN mengeksploitasi sepenuhnya media termasuk akhbar untuk kempen pilihan raya itu. Difahamkan sebuab syarikat konsultan antarabangsa negara berperanan untuk menyelaras kempen BN itu. Karikatur memburuk-burukkan pembangkang memenuhi helaian akhbar. Serangan dibuat secara intensif. Sudah pasti tiada ruang langsung buat pembangkang membeli diri. Mereka dihalang, termasuk untuk membeli iklan dalam akhbar bagi menolak kempen liar BN itu.

Ternyata, tanpa berselindung, Utusan bukan sekadar penyokong dan pendukung kuat Umno-BN, malah berfungsi seperti lidah rasmi parti berkenaan. Pemimpin pembangkang tidak pernah dilayan secara adil, hanya sisi gelap yang ditonjolkan. Kalaupun nampak sudut positif disiarkan hari ini, tunggulah esoknya ada “follow up” bagi membelasahnya!

Utusan tidak bersendirian menjalankan misinya; mungkin gandingan terbaik untuk menyempurnakan tugas sebagai saluran propaganda Umno itu adalah TV3. Di musim pilihan raya, kedua-duanya bagai markas kempen BN. Malah jika kelihatan sesuatu isu dapat dimanipulasi untuk membelasah pembangkang, misalnya dakwaan liwat Anwar Ibrahim, ucapan Mohamad Sabu mempertahankan Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong, maka media ini secara sistematik menyusun serangan pembunuhan karektor bertubi-tubi, tanpa belas kasihan.

Imej pejabat Utusan menghiasi muka depan akhbar NST, 10 Oktober lalu.

Tiada ruang diberikan, walaupun sedikit, untuk pihak yang diserang membuat penjelasan. Satu sikap yang jelas tidak bertanggungjawab dan bercanggah etika kewartawanan, di kala kerajaan mengawal ketat pemberian permit akhbar. Maknanya tiada akhbar setara, apatah lagi stesen TV, sebagai alternatif mendapatkan informasi benar.

Namun begitu, ia tidak pernah menghalang saya daripada terus membaca Utusan, khususnya edisi Ahad. Mingguan Malaysia saya langgan, antara lain difaktorkan pemilihan tokoh dan pendekatan wawancara yang relatif menarik, selain kolum kesihatan, dan satu ketika ruangan komiknya. Saya turut terkesan dengan gaya penulisan kolumnisnya, terutama Allahyarham Rustam A Sani walaupun menyedari, bukan hanya Utusan, tetapi semua akhbar Melayu ketandusan rencana atau analisis berita yang baik.

Saya dapat memahami dan menghayati keperitan pembangkang, khususnya Pas, terutama bila berdepan PRU1986. Waktu itu belum diluluskan permit Harakah dan fenomena langit terbuka masih belum terbayang pun. Kemarahan hanya dapat dizahirkan melalui aksi protes seperti gimik membakar Utusan dan kempen memulaukannya. Pastinya saya turut menyokong tindakan tersebut tetapi terus membeli dan membacanya. Sekalipun menyedari Ketua Pengarang Utusan, Allahyarham Zainudin Maidin atau Zam, sentiasa mensasarkan tulisannya memperlekeh Pas, ia tidak menghalang saya untuk terus mengikuti tulisan dan pojoknya, malah kebanyakan buku-bukunya ada dalam rak saya. Kolum mingguannya, atas nama Awang Selamat menjadi bacaan wajib dan paling awal dibelek setiap Ahad.

Sebagai wartawan dan editor akhbar pembangkang, Utusan merupakan rujukan untuk mengetahui kritikan Umno, termasuk kepada kerajaan negeri Pas. Semangat, aspirasi dan aktiviti Umno dicerminkan oleh laporan Utusan. Maknanya saya tidak pernah mengambil mudah peranan Utusan membentuk atau mempengaruhi pemikiran dan kecondongan politik orang Melayu.

Sebenarnya saya lebih mengharapkan reaksi langsung pembaca menolak Utusan berbanding kempen boikot akhbar milik Umno itu. Cuma, masalahnya pembaca tidak mempunyai cukup pilihan apabila KDN tidak membenarkan wujudnya saingan daripada akhbar-akhbar Melayu yang lebih bebas.

Pengalaman saya memohon permit majalah bulanan pada hujung 1989 sudah cukup sebagai bukti tiada kebebasan akhbar di negara ini. Bukan sahaja ditolak mentah-mentah, malah saya langsung tidak dipanggil temuduga. Nama saya – waktu itu hanya berusia 26 tahun – tercatat dalam senarai hitam KDN. Itu baru memohon permit majalah, apatah lagi jika melibatkan akhbar harian, jauh panggang dari api.

Sebagai jalan keluar, saya terpaksa menyewa permit penerbitan daripada orang lain, bagi menerbitkan majalah-majalah Detik dan Wasilah, pada tahun 1999. Sebenarnya menyewa permit ini, tanpa kebenaran KDN, merupakan satu kesalahan. Bagaimanapun, kedua-dua majalah itu tidak disambung permit (bahasa lebih tepat, diharamkan) selepas setahun beroperasi di bawah syarikat saya, Penerbitan Pemuda. Hayatnya ditamatkan ketika Detik dan Wasilah berada di kemuncaknya, dengan hampir 20 kakitangan hilang pekerjaan dan mata pencarian.

Pengharaman Detik oleh Menteri Dalam Negeri waktu itu, Abdullah Ahmad Badawi, langsung tidak menimbulkan kejutan termasuk di kalangan warga media. Berita duka itu saya tanggung sendiri bersama keluarga kecil Penerbitan Pemuda. Tiada gerakan solidariti tanda kebersamaan mengharungi detik-detik sukar lagi memeritkan itum kecuali teman-teman dekat. Pemberhentian operasi secara mengejutkan turut meninggalkan impak besar daripada segi perniagaan. Sebahagian pengedar mencari daleh untuk tidak melunasi hutang berjuta apabila bekallan terputus. Kakitangan pula tentulah tidak wajar diberhentikan serta-merta apatah lagi permit Detik secara rasmi belum dimatikan lagi; ia masih tergantung tanpa tali selepas tarikh akhir permit 30 November 1999. Hanya pada 2 Mac 2000, KDN memberikan kata putus menolak permohoan memperbaharuit permit majalah Detik itu. Ia bermakna selama lebih tiga bulan, jasad Detik yang sudah tidak bernyawa tidak dapat dikuburkan kerana belum disahkan kematiannya oleh KDN!

Saya memilik gimik mengusung keranda selepas dimaklumkan Detik sudah mati secara rasmi. Untuk menurunkan keranda itu daripada tingkat dua pejabat kami di Medan Idaman, Gombak tentu memerlukan empat orang pengusung. Saya hanya berjaya mendapatkan dua orang lagi untuk membantu menjayakan gimik itu, maknanya kurang seorang daripada bilangan sepatutnya empat orang. Ia menggambarkan babak sedih kematian Detik yang diharamkan kerajaan itu seperti tidak dihiraukan, termasuk oleh rakan-rakan warga media.

Harakah, organ Pas, yang melonjak hebat pada era Reformasi sehingga dicetak hampir 400,000 naskhah turut menerima hukuman berat pada Februari 2000. Kekerapannya dikurangkan daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, yang menghilangkan sama sekali fungsinya sebagai akhbar. Masyarakat juga seperti tidak ambil peduli tindakan kejam kerajaan waktu itu. Jumlah cetakannya menurun secara amat drastik, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan Pas, parti pembangkang yang mendapat sokongan terbesar dalam PRU1999.

Harakah turut ditekan dengan syarat-syarat ketat dan tidak masuk akal mengenai pengedaran dan rangkaian pemasarannya. Bukan sekadar jualan terbatas kepada ahli sahaja, pernah disyaratkan hanya boleh diniagakan di premis parti. Kandungan Harakah juga pernah dicuba untuk dihadkan skop laporan, namun tidak berjaya.

Saya mengimbau peristiwa malang ini, hampir 20 tahun lalu, dan membandingkannya dengan penutupan operasi Utusan yang gulung tikar baru-baru ini. Utusan tidak dicabut nyawa secara kejam oleh pemerintah seperti nasib Detik dan adiknya, Wasilah. Hayat Utusan berakhir kerana kuasa pasaran menolaknya, selain pengurusan perniagaan yang mungkin tempang. Akhbar tertua itu sudah kehilangan daya tarik dan kualiti kewartawanannya dipertikai sejak lama. Tidak keterlaluan jika dirumuskan faktor kematiannya adalah disebabkan salah sendiri yang sudah dijangka.

Saya turut terkilan dengan nasib malang Utusan itu. Secara peribadi saya tiada masalah dengan media yang dimiliki parti pemerintah. Asalkan penerbitan akhbar dibenarkan bebas untuk bersaing dan tiada monopoli. Khalayak menjadi penentu; mereka, yakni pasaran, yang akan menolak sesuatu media itu jika ternyata ia memperbodohkan audien.

Mungkin kes akhbar Cina boleh menjadi rujukan. Masyarakat Tionghua akan menolak mana-mana akhbar yang jelas dipengaruhi kepentingan politik tertentu. Contohnya, kumpulan The Star dan NST, yang rapat dengan elit pemerintah, pernah menerbitkan harian berbahasa Cina tetapi tidak dapat bertahan lama. Bagaimanapun The Star pula merupakan antara akhbar paling berjaya walaupun dimiliki MCA. Pembaca bijak menilai kualiti pemberitaan yang terjaga gaya profesionalismenya dan mengelak daripada mengabdikan diri kepada telunjuk politik pemiliknya.

Hasrat saya untuk melihat peranan konstruktif Utusan yang cenderung kepada pembangkang, Umno-Pas tertangguh ekoran penutupan operasi ini. Pakatan Harapan tentu mempunyai mekanisme sendiri bagaimana untuk menangani perang persepsi tersebut, selain mengharapkan agensi media awam berfungsi dengan lebih berkesan bagi pihak kerajaan.

Dengan kepesatan teknologi hari ini, tiada mana-mana pihak dapat memonopoli saluran maklumat, apa lagi kerajaan PH bersikap terbuka dan meraikan kebebasan bersuara. Sesiapa juga boleh bertanding secara sihat untuk menawarkan idea dan sudut pandang terbaik. Proses pendemokrasian menjadi semakin matang apabila setiap warga bebas mengakses dan memamfaatkan media sosial.

Catatan ini sekadar mengingatkan ada tragedi lebih perit dalam dunia kewartawanan kita. Benar, ia berlaku di zaman Dr Mahathir menjadi perdana menteri keempat dahulu, namun semua itu tidak menghalang untuk kita sama-sama mengambil iktibar. Budaya takut yang pernah menyerkup jangan diizinkan kembali. Kongkongan melampau daripada elit politik hanya menatijahkan kebodohan dan membantut proses memandaikan masyarakat.

Khalayak harus mampu mempengaruhi integriti media. Kita tidak perlukan aksi boikot atau kempen pemulauan akhbar lagi; biar ditentukan pengguna media yang matang dan bijaksana. Dr Mahathir pernah diisytihar sebagai musuh utama kebebasan media, tetapi beliau juga kini memesatkan pelaksanaan agenda pembaharuan dan reformasi. Moga tiada langkah ke belakang, memutar balik sejarah lampau. Kita sudah berada di atas landasan yang betul.