Malaysia Dateline

Utusan kembali beroperasi dalam suasana politik panas?

Apabila Malaysia Dateline melaporkan akhbar Utusan Malaysia akan kembali beroperasi bulan depan di pejabat NST di Jalan Riong, Bangsar, teringat pula kepada suatu teori dalam komunikasi iaitu pemilikan dan kawalan media.

Apa yang terpampang di fikiran semua pemerhati ialah syarikat akhbar tersebut sebagaimana dijelaskan oleh pemerhati politik, Mohd Sayuti Omar dikendalikan oleh syarikat Aurora Mulia yang dikaitkan dengan hartawan Syed Mokhtar Albukhary.

Syarikat itu, jelasnya, memiliki saham dalam Media Prima yang merupakan syarikat induk NSTP yang menerbitkan tiga akhbar iaitu New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

“Perkembangan dan maklumat itu memberi gambaran bahawa Utusan Malaysia akan diurusterbitkan oleh syarikat yang sama di mana sudah tentu ia membawa agenda atau pun konsep sama dengan syarikat-syarikat akhbar diuruskan oleh Media Prima tersebut,” ujarnya di Facebook, 21 Jun lalu.

Sehubungan itu, beliau berpendapat Utusan Malaysia dibimbangi tidak dapat bertahan sekiranya diuruskan syarikat terbabit kerana faktor konsep yang mungkin sama dengan akhbar sedia ada.

Kenapa agaknya Utusan Malaysia masih harus beroperasi sedangkan ia ditimpa atau dilanda dengan bebanan hutang menggunung atau adakah segala hutang itu telah dilunaskan atau distabilkan.

Atau adakah ia disebabkan oleh faktor Utusan sebagai memori sejarah, akhbar Melayu tertua di negara ini dengan rekod sejarah perjuangan Melayu mencapai kemerdekaan?

Oleh itu seperti yang disebutkan Sayuti, apakah kelainan Utusan yang jika bagi saya hendak dibandingkan Berita Harian dan Sinar Harian?

Nampak Utusan beroperasi dalam suasana politik panas, pergelutan antara Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri untuk menubuhkan kerajaan PH dalam peralihan kuasa walaupun kerusi Parlimen untuk berkuasa bagi kedua-dua pihak belum dimuktamadkan.

Utusan memang pakar dalam berita dan analisis politik lebih-lebih lagi semasa berada di bawah payung Umno walaupun didakwa berlaku manipulasi berita tetapi ketajaman berita Utusan itu amat mendalam pelaporannya. Adakah Utusan akan bertumpu atau memberi fokus kepada laporan politik semata-mata?

Pemerhatian lebih mendalam daripada sudut teori ekonomi politik atau pemilikan dan kawalan, penerbitan Utusan yang baharu dapat dilihat daripada bagaimana nilai-nilai berita diproduksi, diagihkan, dipertukarkan, dan digunakan; bagaimana kekuasaan dihasilkan, didistribusikan, dan diterapkan; dan bagaimana berbagai aspek dunia sosial saling berkaitan dalam konteks ruang dan waktu.

Utusan akan diwakili kekuasaan siapa jika Tun Dr Mahathir tidak menjadi Perdana Menteri ke-9 misalnya? Adakah Utusan akan beralih ke PN pula? Dapatkah Utusan menjadi akhbar atau media bebas parti?

Dari sudut ekonomi politik misalnya penguasaan media oleh Syed Mokhtar, yang dapat dikatakan orang kuat Dr Mahathir, tidakkah ia memaparkan kecenderungan berita dan analisis isu yang sepihak dan kritikan keras terhadap PN atau Anwar dan PKR nanti.

Dalam keadaan Dr Mahathir yang tidak berparti, dan Media Prima dikuasai oleh Syed Mokhtar di bawah pengaruh bekas PM ketujuh, jangkauannya adalah luas, walaupun media sosial adalah raja media sekarang.

Dalam hal ini, pengambilalihan ini dikatakan bukan hanya satu urusan perniagaan semata-mata, tetapi ia juga mempunyai motif politik.

Pihak yang mengambil alih ingin menggunakan akhbar atau media untuk membentuk pendapat umum dalam kalangan masyarakat dan juga untuk memperbaiki segala kelemahan yang telah dilakukan oleh parti pemerintah terdahulu dari segi polisi dan kenyataan yang berkontroversi.

Lazimnya kajian tentang pemilikan media yang secara operasional dan kawalan alokatif sering menimbulkan beberapa persoalan seperti ‘Siapa yang mengawal organisasi media?’, ‘Di manakah tumpuan yang akan diberi bagi organisasi media yang mengawal?’, ‘Bagaimanakah kandungan berita yang akan dibentuk dalam pengeluaran operasi harian?

Dalam hal ini kawalan alokatif akan tertumpu kepada tangan pemiliknya dan kepentingannya. Terdapat dua jenis pemilikan yang didapati iaitu pemilikan undang-undang dan pemilikan ekonomi. Kedua-dua jenis pemilikan ini akan menentukan siapa yang berkuasa untuk mengawal operasi harian media yang dimilikinya.

Dalam kes Utusan Malaysia, Syed Mokhtar adalah pemilik alokatif di bawah pemilikan undang-undang. Dalam satu kenyataan, Utusan Melayu (Malaysia) Bhd berkata ia akan melupuskan 70 peratus saham anak syarikat milik penuhnya, Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd.

Tidak banyak yang diketahui mengenai Aurora Mulia. Bagaimanapun anak Syed Mokhtar, Syed Danial merupakan antara pengarah syarikat itu. Siapakah pula yang berada di bawah kepemilikan ekonomi?

Ia seperti dilaporkan Straits Times Singapura diketuai oleh Mohamad Azlan Jaafar, yang merupakan ketua pengarang Malaysian Reserve disebut-sebut sebagai ketua editor baharu Utusan, sementara beberapa bekas editor Utusan yang lain telah dilantik untuk membantunya.

Siapakah pula yang memiliki Malaysian Reserve? Adalah dipercayai pemilik TMR Media Sdn Bhd yang menerbitkan akhbar perniagaan The Malaysian Reserve ialah Syed Mokhtar. Ini rasionalnya bagaimana Mohamad Azlan boleh dilantik menjadi ketua pengarang Utusan.

Dalam pengambilan dan pemilikan kawalan media di Malaysia dalam isu Utusan Malaysia, ia seolah-olah berlegar-legar sekitar seorang tokoh tertentu yang dikaitkan dengan pemilikan media yang lain.

Dalam hal ini Syed Mokhtar adalah yang menguasai dari segi kepemilikan undang-undang bersama lembaga pengarah yang lain tetapi yang mengendalikan urusan sehari-hari perniagaan Utusan dan penghasilan berita adalah ketua pengarang.

Beliau akan memastikan supaya Utusan tidak rugi dan mendapat keuntungan apabila tahun kewangan Utusan berakhir. Pemegang saham ingin mengetahui untung atau rugi sahaja.

Tetapi jika Utusan bergerak sebagai organisasi dengan ideologi politik dan bantuan kewangan oleh orang tertentu, maka sejarah akan berulang lagi di mana Utusan menjadi alat politik oleh puak atau golongan tertentu.

Secara teoritikalnya media massa (termasuk media baharu) adalah kelas yang mengatur. Ia bukan sekadar medium lalu-lintas mesej antara unsur-unsur sosial dalam suatu masyarakat, melainkan juga berfungsi sebagai alat penundukan dan pemaksaan konsensus oleh kelompok yang dominan secara ekonomi dan politik.

Keberadaan Utusan tentu akan merancak liputan politik tanah air dan perang media akan menghangatkan suasana.

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).