Malaysia Dateline

Utusan Malaysia bakal muncul bulan depan?

Pemerhati politik, Mohd Sayuti Omar mendakwa akhbar Utusan Malaysia akan kembali beroperasi bulan depan di pejabat NST di Jalan Riong, Bangsar di ibu negara.

Menurutnya, kemunculan semula penerbitan akhbar yang tertua di negara itu akan dikendalikan oleh syarikat Media Mulia yang dikaitkan dengan hartawan Syed Mokhtar Albukhary melalui Aurora Mulia.

Syarikat itu, jelasnya, memiliki saham dalam Media Perima yang merupakan syarikat induk NSTP yang menerbitkan tiga akhbar iaitu New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

“Perkembangan dan maklumat itu memberi gambaran bahawa Utusan Malaysia akan diurusterbitkan oleh syarikat yang sama di mana sudah tentu ia membawa agenda atau pun konsep sama dengan syarikat-syarikat akhbar diuruskan oleh Media Prima tersebut,” ujarnya di Facebook hari ini.

Sehubungan itu, beliau berpendapat Utusan Malaysia dibimbangi tidak dapat bertahan sekiranya diuruskan syarikat terbabit kerana faktor konsep yang mungkin sama dengan akhbar sedia ada.

“Tanpa kelainan dengan akhbar yang sedia ada UM (Utusan Malaysia) tidak boleh bertahan lama.

“Kalau tiga akhbar itu menjadi penjilat kerajaan atau dikenali sebagai alat kerajaan, maka begitu jugalah dengan Utusan Malaysia nanti.

“Apa lagi sebelum ini Utusan Malaysia dikenali dengan akhbar milik Umno yang jadi pemegang kuasa selama 61 tahun,” kata Sayuti lagi.

Untuk rekod, Lembaga Pengarah Utusan Melayu Berhad (Utusan) memberhentikan operasiĀ  Utusan Malaysia berkuatkuasa pada 9 Oktober tahun lalu iaitu ketika sambutan ulang tahun ke-80 akhbar itu ekoran masalah aliran tunai yang semakin tenat.

Syarikat tersebut berkata, pihaknya berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang ekoran tunggakan hutang, gagal membayar gaji pekerja, penurunan edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo serta gagal mencapai sasaran RM4 juta iklan sebulan.

Mengulas lanjut, Sayuti berpendapat Utusan Malaysia mungkin boleh bersaing dengan akhbar sedia ada yang berada sebumbung dengannya sekiranya menjadi media kritis dan berbeza dengan sifatnya sebelum ini.

“Kecualilah penerbitan semula Utusan itu kerana ingin memberi kerja kepada bekas kakitangannya yang diberhentikan atau pun kerana ada sokongan kewangan oleh kerajaan PN kini dan bukan berlandasankan komersial,” katanya lagi.