Utusan tutup loji cetak Terengganu, pejabat biro
Semua pejabat biro Utusan kini ditutup apabila kesemua urusan dibuat melalui mobile.

Utusan tutup loji cetak Terengganu, pejabat biro

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia mengumumkan penutupan operasi lojinya percetakannya di Terengganu dan semua pejabat biro negeri berkuatkuasa 1 Disember.

Pengerusi eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd, Abd Aziz Sheikh Fadzir mengumumkan, ia adalah sebahagian daripada langkah penstrukturan semula syarikat, lapor The Malaysian Insight.

Dalam satu memorandum bertarikh 5 November kepada kakitangannya, Aziz mengumumkan untuk menghentikan operasi loji percetakan di Gong Badak, Terengganu.

Langkah itu berkuatkuasa 1 Disember katanya yang turut mengumumkan penutupan operasi pejabat biro Kuching dan Kota Kinabalu.

Tiga hari kemudian, Aziz dalam memorandum berasingan mengumumkan bahawa penutupan operasi itu melibatkan kesemua pejabat biro.

“Bagaimanapun, operasi harian kakitangan di biro akan berjalan seperti biasa yang mana akan dilaksana secara mobile,” kata bekas ahli Parlimen Umno itu lagi.

Syarikat dibelenggu hutang itu bermasalah membayar gaji kakitangannya bagi Ogos dan September hingga kakitangannya mengancam melancarkan piket.

Pada 21 September lepas, syarikat itu menawarkan skim pemisahan sukarela untuk mengurangkan separuh daripada 1,500 kakitangannya.

Syarikat itu dikuasai oleh Umno dengan pegangan saham 49.77%, menikmati keuntungan kali terakhir pada 2011.

Kerugian terkumpulnya sehingga ini berjumlah RM 71.4 juta setakat Mac lepas dan kini disenarai dalam kategori PN17 di Bursa Malaysia selepas gagal membayar hutang bank berjumlah RM1.18 juta.

Umno pada akhir bulan lalu juga mengumumkan tidak akan melepaskan pegagangan sahamnya dalam syarikat itu.