Uwais rupanya sukar restui hubungan Shuib dan isteri, Watie bongkar punca sebenar

Oleh WAN SITI AMINAH

Hubungan erat yang berjaya dibina oleh usahawan, Watie Hanafiah bersama anak-anak tirinya telah menjadi sumber inspirasi orang ramai terutamanya bagi peminat.

Sekaligus menghapuskan ‘stereotaip’ ibu tiri, isteri kepada pelawak dan penyampai radio iaitu Shuib itu mengakui perkara tersebut bukanlah semudah yang dijangkakan.

Malah, Uwais yang merupakan anak sulung kepada Shuib juga mulanya sukar untuk memberikan restu ketika bapanya meluahkan hasrat menjadikan Watie sebagai isteri.

Perkara itu dibongkarkan Watie dalam satu siaran langsung di akaun TikTok miliknya yang berjaya dirakam sebelum dimuat naik semula oleh pengguna platform tersebut.

Menurut pemilik nama sebenar Fati Nikmatul Adawiyah Hanafiah itu, dirinya enggan menerima lamaran Shuib sekiranya anak-anaknya tidak merestui hubungan mereka.

“Masa mula-mula kenal lagi, saya sudah beritahu (Shuib) jika ada jodoh kita kahwin. Selagi anak-anaknya tidak memintanya mengahwini saya. Selagi itulah saya tidak akan berkahwin.

“Sebab bagi saya, anak-anak itu penting. Lagipun saya bukan hidup berdua sahaja dengan dia. Kalau dia sahaja mahukan Watie tapi anak-anak tak, Watie tahu kita tidak akan hidup bahagia.

“Kita akan duduk satu rumah nanti. Bila sudah tahu dia duda empat anak, maknanya saya akan ada empat anak selepas kahwin nanti. Jadi nasihat Watie, kalau tak bersedia jangan mula (berkawan),” katanya.

Ulas Watie, meskipun sudah ‘berkepit’ dengan Uwais dalam fasa berkawan dengan Shuib, namun kanak-kanak itu sukar membuka hatinya agar bapanya berkahwin lagi.

Hal ini kerana, remaja yang kini berusia 12 tahun itu merasa sangat khuatir sekiranya sikap Watie nanti bakal berubah selepas wanita tersebut sah menjadi isteri bapanya.

“Ayah dia sudah nampak yang Uwais sayang dan suka saya. Tetapi apabila ditanya sama ada boleh berkahwin ataupun tidak, katanya tidak boleh lagi kerana belum tiba masanya.

“Talita dan Mateen okay sudah berikan kebenaran. Tetapi Uwais sahaja belum. Dia ada ketakutan. Mungkin dipengaruhi persekitaran atau drama. Dia takut saya jadi mak tiri jahat selepas berkahwin.” Jelasnya.

Wanita berusia 35 tahun itu bagaimanapun bersyukur apabila berhasil mengubah persepsi anak-anak tirinya dengan keiklasannya dalam menyayangi mereka semua.

Baca juga: Azlee Senario nafi bersiaran langsung di TikTok untuk ‘mengemis’ hadiah, anggap ‘gifts’ sebagai penghargaan