Bakal berusia genap 80 tahun pada 30 Oktober ini, seorang nenek di Negeri Sembilan telah berjaya menakluk puncak tertinggi di daerah Rembau iaitu Gunung Datuk.
Buat kali kelima, Siti Zaharah Abdullah dari Kampung Batu Puteh, Chengkau di Rembau berjaya mendaki Gunung Datuk yang berketinggian 884 meter itu.
“Mula-mula naik dulu tahun 1958. Kali terakhir mendaki 20 tahun lepas,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline di Gunung Datuk kelmarin.
Kemunculan nenek atau ‘uwan’ mengikut panggilan masyarakat Negeri Sembilan itu yang sentiasa memakai pelitup muka sepanjang pendakian dilihat menarik perhatian ramai pendaki yang terserempak dengannya.
Ditemani anak sulungnya, Esah Itam, 60, mereka dua beranak mula mendaki gunung beradat itu jam 2 petang dan tiba di puncak kira-kira jam 4.30 petang.
Uwan hanya berkasut sekolah tanpa memakai stoking ketika mendaki tetapi kedua-dua tangannya mengenakan sarung tangan berwarna hitam.
Siti Zaharah bahkan sempat menjengah kesan tapak kaki yang dikatakan milik Laksamana Hang Tuah di atas batu di puncak gunung tersebut.
Ditanya apa dorongan utama untuknya mendaki salah satu gunung di penghujung Banjaran Titiwangsa berkenaan, Siti Zaharah berkata, hasratnya itu timbul sejak bulan Ogos lalu.
“Aku memang ada sebut dua bulan lepas, (tapi) siapa nak bawak aku naik? Memang ada tersebut nak daki gunung.
“Siap… jalan saja,” kata Siti Zaharah selamba apabila Esah mengajaknya mendaki Gunung Datuk petang kelmarin.
Walau bagaimanapun, hajatnya untuk singgah di ruang yang dipanggilnya Gua Apit Apit di bawah bongkah batu di puncak Gunung Datuk itu tidak kesampaian.
Menurut Esah, beliau sendiri menghalang ibunya berbuat demikian atas faktor keselamatan.
“Mulanya ingat nak pergi gua dalam tu, Gua Apit Apit. Kalau nampak (makhluk) berjanggut, peluklah ‘Datuk’ itu,” kata Siti Zaharah.
Ibu yang telah melahirkan 15 orang anak tetapi sekarang lapan yang masih hidup itu menambah terdapat juga struktur menyerupai tempayan besar di hujung gua tersebut.
“Sentiasa ada air menitis di situ. Air itu boleh diminum, rezeki kita,” katanya lagi yang suka berkebun dan jarang menjamah makanan mengandungi lemak yang tinggi.