Hanipa beri Anugerah Unsung Heroes kepada mualaf hafal 10 juzuk Al-Quran

Hanipa beri Anugerah Unsung Heroes kepada mualaf hafal 10 juzuk Al-Quran
Mohamed Hanipa Maidin bersama Tan Mike Fong dan ibunya Ang Bee Cheng ketika menziarahi keluarga itu di Kampung Asam Kumbang di Kuala Kubu Baharu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin, menganugerahkan penghargaan Unsung Heroes kepada mualaf, Tan Mike Foong dan ibunya yang beragama Buddha, Ang Bee Cheng dalam satu siri lawatan santai, hari ini.

Hanipa berkata, program yang diadakan itu bagi meraikan dan memberi penghargaan kepada golongan istimewa sebagai hero tidak didendang.

Katanya, program yang memasuki kali ke 20 itu sebagai salah satu cara menyantuni golongan tersebut yang tidak mendapat perhatian masyarakat.

“Program yang dijalankan ini bagi menghargai dan meraikan golongan yang mungkin tidak popular dikalangan masyarakat.

“Anugerah ini sebagai satu kebanggaan terhadap Mike yang masih berhubungan baik dengan kedua orang tuanya yang berlainan agama dan ibunya yang banyak menyokong Mike menghafaz sehingga 10 juzuk al Quran, ” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan, program yang telah dijalankan selama lebih setahun itu bukanlah majlis menyerahkan bantuan atau menyampaikan sumbangan.

“Masalah kami apabila mengadakan program ini, ada dalam kalangan masyarakat yang salah anggap dengan memikirkan ia satu program memberi bantuan.

“Ingin saya tegaskan, ini bukan program penyerahan sumbangan atau program bertemu rakyat dan mendengar aduan. Program ini untuk mengangkat jasa-jasa mereka yang memberi tauladan kepada masyarakat.

“Ini juga sebenarnya bukan program rasmi kerajaan, tetapi inisiatif saya sendiri di bawah JPM,” ujarnya.