V Shem-Wee Kiong lebih ‘segar’ sejak tinggalkan BAM

V Shem-Wee Kiong lebih ‘segar’ sejak tinggalkan BAM

Beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mengakui lebih ‘segar’ sejak mengambil keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) awal tahun ini.

Gandingan yang meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016 itu berkata terdapat impak positif terhadap corak permainan mereka yang kini mendapat bantuan daripada bekas pemain beregu lelaki negara, Lee Wan Wah.

Katanya, beberapa masalah dihadapi mereka yang merencatkan prestasi sebelum ini berjaya menemui jalan penyelesaian.

“Latihan sekarang di bawah Wan Wah berlainan sedikit dan banyak pengalaman baharu kami raih yang membantu menyelesaikan beberapa masalah di dalam gelanggang.

“Sejak itu juga, beberapa idea baharu timbul dan ia membuka mata kami untuk melihat sesuatu perkara dengan lebih baik,” kata Wee Kiong ketika ditemui selepas tamat pusingan kedua acara beregu lelaki kejohanan Malaysia Masters 2019 di sini, hari ini.

Pada perlawanan itu, V Shem-Wee Kiong mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan ranking kesembilan dunia dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 24-22, sekali gus meraih kemenangan pertama mereka dalam lima pertemuan sebelum ini.

Bagaimanapun, Wee Kiong enggan melihat faktor kebangkitan mereka itu atas usaha mereka semata-mata, malah menjelaskan barisan kejurulatihan BAM turut memainkan peranan sehingga mereka berjaya mencapai prestasi terkini.

“Di bawah jurulatih Paulus (Paulus Firman) dia pun ada banyak bantu membentuk kami. Bukan maksud kami keluar BAM dan raih gelaran itu disebabkan kami sahaja…tidak. Mereka (barisan kejurulatihan) juga patut diberi kredit,” tambah beliau.

Aksi suku akhir esok bakal menyaksikan V Shem-Wee Kiong akan bertemu pilihan ketiga kejohanan, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe dari Jepun yang menang ke atas pasangan Indonesia, Berry Angriawan-Hardianto 27-25, 21-12.

Dalam pada itu, beregu lelaki di bawah naungan BAM, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut mengesahkan tempat di suku akhir selepas menumbangkan beregu Denmark, David Daugaard-Frederik Sogaard 21-13, 14-21, 21-10 dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.

— BERNAMA