Malaysia Dateline

Vaksin Covid-19: Berapa jumlah komisen diterima Pharmaniaga, soal Anwar

Kerajaan setakat ini belum menjawab tentang masalah ketelusan dalam mendapatkan vaksin Covid-19 serta pelaksanaan program vaksinasi, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, sejumlah RM3 bilion wang negara telah dibelanjakan bagi mendapatkan pelbagai jenis vaksin.

Namun, Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan mempersoalkan parameter yang digunapakai dalam membuat keputusan bagi mendapatkan pelbagai jenis vaksin terbabit.

“Misalnya, berapakah jumlah komisen yang dibayar pada Pharmaniaga bagi mendapatkan vaksin Sinovac?

“Selain itu, terdapat beberapa laporan yang menyatakan bahawa kerajaan India menawarkan untuk memberi vaksin secara percuma kepada beberapa negara.

“Adakah Malaysia ditawarkan vaksin percuma tersebut?” soalnya menerusi kenyataan hari ini.

Bulan lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) akan mengendalikan rantaian proses pembekalan vaksin Sinovac yang dibeli secara pukal.

Beliau sekali gus menafikan tuduhan bahawa PLS diberi kontrak untuk sekadar menukar botol vaksin.

Pada 27 Februari lalu, PLS yang merupakan anak syarikat milik penuh Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) menerima bekalan kelompok pertama vaksin Sinovac Covid-19 secara pukal bagi proses validasi (PV) pengilangan kelompok.

Vaksin berjumlah 200 liter atau bersamaan 300,000 dos itu diterbangkan dari Beijing, China.

Pharmaniaga mempelopori penghasilan vaksin dan sebagai kilang vaksin pertama yang menjalani proses ‘fill and finish’ di Malaysia.

Syarikat itu telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan untuk membekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk diedar ke hospital, klinik dan pusat kesihatan yang ditetapkan, setelah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Tidak seperti vaksin Covid-19 yang dihasilkan oleh Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca yang dibeli secara terus oleh kerajaan, Sinovac dibeli daripada Pharmaniaga yang bertanggungjawab melaksanakan proses pembotolan vaksin itu.

Khairy dalam sidang media pada 12 Januari lalu berkata, harga Sinovac yang Malaysia beli dari Pharmaniaga adalah lebih rendah berbanding jika Malaysia membeli secara terus produk siap daripada Sinovac itu sendiri.