Malaysia Dateline

Vaksin Covid-19: ‘Jangan anggap pakar perubatan, syariah ejen Dajal’

Ahli akademik menyeru agar orang ramai menyambut baik pengambilan vaksin Covid-19 tanpa perlu bimbang mengenai bahan yang digunakan.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin berkata, perbincangan secara terperinci mengenai penggunaan vaksin itu melibatkan kumpulan pakar perubatan dan syariah.

Perbincangan berkenaan, jelasnya, akan memperhalusi pelbagai sudut sebelum hukum berkaitan penggunaan vaksin Covid-19 dikeluarkan.

Katanya, keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai fatwa vaksin Covid-19 pada 3 Disember lalu telah menyatakan penggunaan vaksin itu sebagai harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Jadi, masyarakat kita tidak perlu ragu terhadap program imunisasi dan vaksinisasi termasuk vaksin Covid-19 kerana wujud kerjasama kolektif pakar perubatan dan pakar syariah.

“Jangan anggap mereka ejen Dajal termasuk kononnya membuat keputusan memihak kepada kerajaan. Jangan ya,” katanya dalam Wacana Isu Semasa Pandemik Covid-19 dari Perspektif Maqasid Syari’ah hari ini.

Dr Mohd Hapiz menegaskan tidak ada maslahah berhubung isu vaksin yang bersifat mutlak.

Dalam wacana atas talian anjuran Pusat Kajian Maqasid Shari‘ah Institut Darul Ehsan (IDE) itu, Dr Mohd Hapiz berkata, rawatan kesihatan adalah harus tetapi hukumnya berubah mengikut situasi dan risiko mudarat.

“Kita jangan ingat dalam mempertahankan nak jaga dalaman daripada terkesan benda-benda yang haram tetapi kerana kecuaian, kita anggap mati syahid, tetapi rupa-rupanya kita berdosa,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hapiz berkata, terdapat banyak saranan syarak yang mengetengahkan konsep pencegahan kemudaratan sebagai langkah awal kesihatan dan kewajipan mendapatkan rawatan.

Beliau menjelaskan terdapat kelonggaran menggunakan sumber haram dalam rawatan bagi kes darurat melibatkan kematian dan keadaan kronik seperti ketiadaan sumber halal, kesukaran akses serta keberkesanan sumber haram.

“Vaksin bersumberkan bahan haram itu dibolehkan kerana darurat. Jika ada dua pilihan, maka wajib memilih vaksin bersumberkan yang halal,” tegasnya.

Berhubung penentangan golongan antivaksin, Dr Mohd Hapiz berkata, pencegahan penyakit melalui vaksinasi lebih besar daripada segi maslahah berbanding mafsadah (keburukan atau kerosakan).

“Ada maslahah. Ada mafsadah. Terpulang pada ijtihad masing-masing tetapi apabila keluar hukum keharusan vaksin mestilah dipatuhi demi kemaslahatan umat.

“Antivaksin ini ada di mana-mana termasuk di Barat. Selain itu, ada juga golongan bukan anti vaksin tetapi mengutamakan kaedah alamiah. Ada yang menolak vaksin dengan fakta yang salah.

“Rasulullah pernah menempelak golongan yang membuat keputusan berasaskan kefahaman yang salah sehingga menyebabkan implikasi kepada nyawa.

“Rujuklah kepada sumber pakar yang betul. Sia-sia kita ada Kementerian Kesihatan yang mempunyai banyak kepakaran termasuk kawalan penyakit berjangkit,” ujarnya lagi.