Malaysia Dateline

Vaksin Covid-19 lambat sampai, apa yang tidak kena?

Dalam program ‘Bicara Khas’ mengenai cabaran COVID-19 (yang diragui ramai warganet sama ada ia siaran langsung atau rakaman) di TV1 dan Bernama TV pada 23 Mei lalu, Perdana Menteri (PM) membayangkan penantian kerajaan untuk mencapai sasaran pemvaksinan terhadap 80 peratus rakyat Malaysia mungkin dapat dicapai tidak lama lagi.

Kata Tan Sri Mahiaddin Yassin, kerajaan telah membuat perjanjian untuk perolehan bekalan vaksin melebihi 100 peratus penduduk negara.

Tambah beliau, malah sasaran pemvaksinan 80 peratus rakyat mungkin dicapai lebih awal, iaitu sebelum akhir tahun ini – berbanding jangkaan awal, pada 2022.

Kata Mahiaddin, bukan masalah Malaysia tidak mendapat bekalan vaksin, tetapi menunggu bila ia akan sampai.

Tiada atau tidak mendapat langsung dengan ada, tetapi masih ditunggu adalah dua perkara berbeza. Masalahnya, mengapa vaksin (yang dikatakan ada) itu lambat sampai? Apa yang tidak kena?

Menurut PM, beliau telah diberikan jaminan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa sebelum akhir 2021, semua bekalan akan sampai.

Sekarang bulan Mei, kata Mahiaddin. Jadi, masanya akan tiba tidak lama lagi. Katanya, ‘terowong’ itu tidak terlalu panjang, malah cahaya di hujungnya semakin kelihatan.

Ahli Parlimen Pagoh tersebut sebelum itu ditanya oleh moderator mengenai dakwaan vaksin yang dianggap sebagai ‘sinar di hujung terowong’ dalam perang melawan COVID-19 dilihat melibatkan penantian yang terlalu lama.

Kata Mahiaddin, beliau dimaklumkan bahawa setakat ini hampir sejuta rakyat – termasuk dirinya – telah menerima dua dos suntikan vaksin itu.

PICK banyak diserang oleh pengkritik kerana didakwa lambat dalam melancarkan pemvaksinan berbanding negara-negara lain, termasuk negara jiran.

Khairy yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sebelum ini beberapa kali menjelaskan kadar pemvaksinan semasa yang dilihat perlahan akan meningkat pada Jun, Julai dan Ogos.

Khairy memberi alasan negara akan menerima peningkatan bekalan vaksin mulai Jun nanti. Beliau malah yakin program pemvaksinan akan dapat diselesaikan pada tahun ini.

Beberapa hari sebelumnya, mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mahu kerajaan menjelaskan mengapa Malaysia masih ketinggalan dalam usaha pemvaksinan COVID-19 berbanding negara-negara serantau.

Mahiaddin, tegas Lim, perlu memberitahu rakyat bagaimana RM5 bilion ‘dijarah’ dari tabung Kumpulan Wang Amanah Negara untuk membiayai PICK, dan RM622 bilion melalui pakej rangsangan ekonomi, serta Belanjawan 2021 dibelanjakan, ketika kadar pemvaksinan Malaysia lebih rendah daripada Indonesia, dan tiada tanda pemulihan ekonomi yang mampan.

Suram dan kecewa

Dalam satu kenyataannya, Lim mengatakan perasaan suram dan kecewa semakin meningkat ekoran jangkitan COVID-19 melonjak, dan jumlah kematian yang semakin tinggi, sehingga memerlukan PKP 3.0 di seluruh negara.

Hari ini, Malaysia mencatatkan rekod baharu dan tertinggi apabila kes harian COVID-19 mencecah 7,478! Jumlah kes positif 533,367. Kematian tertinggi adalah 61 orang pada 24 Mei lalu! Selangor sahaja sudah mengumpulkan 174,775 kes!

Menurut Lim, Indonesia yang mempunyai 276 juta penduduk, mencatatkan kadar pemvaksinan sebanyak 4.2 peratus.

Walau bagaimanapun, kadar pemvaksinan di Malaysia ketika ini hanyalah kira-kira 4.0 peratus daripada 32.7 juta penduduk.

Malangnya, kata Lim, Malaysia mencatatkan kadar jangkitan COVID-19 per kapita yang lebih tinggi berbanding Indonesia.

Memang sedih kerana Indonesia mengambil Malaysia sebagai contoh untuk memberi amaran kepada rakyatnya agar tidak mengikut negara kita dalam kegagalan mematuhi SOP COVID-19.

Malu! Kita mahu menjadi contoh yang baik, bukan buruk. Malaysia pernah disanjung kerana sekali berjaya mencatat sifar kes, dan dua kali hanya satu kes harian COVID-19.

Namun begitu, tidak lama kemudian kecaman diterima dari kiri dan kanan. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pun turut mengakui PRN Sabah pada 26 September 2020 sebagai penyebab kes COVID-19 kembali menggila!

Lim juga bertanya berapa banyak lagi PKP yang perlu dilalui rakyat Malaysia, ketika Kerajaan PN enggan mengakui kegagalan mengurus krisis COVID-19, serta menghentikan dasar yang berubah-ubah, dan pusingan-U SOP, ketidakcekapan yang jelas, dan juga amalan dua darjat dalam penguatkuasaan pematuhan PKP.

Justeru, sebagaimana pemimpin PH lain, Lim sekali lagi menggesa sidang Dewan Rakyat diadakan semula bagi memastikan ‘kerajaan tidak dapat berselindung berkenaan perbelanjaan, bagi memastikan setiap sen digunakan sepenuhnya’ dalam mengatasi wabak pandemik maut ini.

Sementara itu, bolehkah isu pembahagian dua juta dos vaksin Sinovac di Pulau Pinang yang didakwa palsu dianggap sebagai penyelewengan kerajaan pusat?

Seorang kakitangan sebuah syarikat swasta di Hong Kong mempertahan tawaran vaksin jenama Sinovac berjumlah sedemikian kepada kerajaan Pulau Pinang adalah tulen.

Kata Yong Chee Kong, 58, tidak adil seorang menteri Kabinet melabelkan tawaran Xintai Enterprise Development Ltd, syarikat pelaburan, sebagai scam.

Menurut Yong, majikannya yang berpangkalan di Hong Kong meminta dia menulis surat kepada Kerajaan Pulau Pinang untuk menawarkan vaksin itu, selepas surat mereka kepada Kerajaan Sabah ditolak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Januari lalu. Itulah, kata Yong, yang menyebabkan dia perlu ke negeri pembangkang/PH.

Pada 19 Mei lalu, Khairy dilaporkan berkata, tawaran dua juta dos vaksin Sinovac itu scam, dan syarikat tersebut bogus.

Menurut Khairy, beliau tidak menemui bukti penderma yang didakwa bernama ‘Yong Chee Kong’, atau syarikat berpangkalan di Hong Kong yang disebut dalam surat itu, ‘Xintai Development Enterprise Ltd, wujud.

Kata Yong, dia tidak pernah menyatakan dirinya pemilik syarikat itu, dan mendakwa syarikat asing tersebut mempunyai modal berbayar HKD300 juta.

Jelasnya, Xintai Development Enterprise Ltd yang Khairy sebutkan tidak sama dengan nama sebenar syarikat itu, Xintai Enterprise Development Ltd.

Disebabkan namanya dipetik oleh Khairy, dia kini mendapat perhatian tanpa rela daripada orang ramai.

Tindakan undang-undang

Memang isu vaksin ini dipolitikkan seperti kata Yong, yang menganggap ia tidak adil untuknya. Tegas Yong, oleh kerana namanya muncul dan dikaitkan sebagai scammer, dia mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang.

Kata Yong, dia berasa dipermain, dan malu. Namun begitu, dia tidak merancang masuk berita atau apa-apa seperti itu.

Cuma, Yong tidak bimbang kerana tawaran majikannya untuk menderma vaksin itu tulen, bukan scam.

Sementara itu, tegas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, kerajaan negeri melakukan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam isu ini kerana tawaran vaksin tersebut akan dapat diberikan kepada rakyat Pulau Pinang demi menjaga keselamatan mereka terhadap virus COVID-19.

Kerajaan negeri mengambil tindakan berhemah apabila merujuk tawaran itu melalui surat bertarikh 1 Februari lalu dengan memohon pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Tambah Chow, JKNPP kemudian meminta supaya perkara berkenaan dikemuka kepada KKM untuk pandangan serta nasihat lanjut.

Selepas mendakwa surat kepada Kerajaan Pulau Pinang berhubung sumbangan dua juta dos vaksin COVID-19 ditulis oleh DAP negeri bagi pihak dirinya, Yong menjelaskan yang surat itu sebenarnya ditulis oleh seorang kakitangan syarikatnya.

Kata Yong, dia mendapati seorang kakitangannya yang menghantar surat itu kepada kerajaan negeri. Dia meminta maaf kepada Kerajaan Pulau Pinang atas salah faham yang timbul.

Dia juga berharap permohonan maaf yang dibuat secara terbuka menerusi laporan berita dalam akhbar akan menamatkan kemelut perkara tersebut.

Kata Yong, tiada keperluan mengadakan sidang media untuk penjelasan lanjut, dan dia serta syarikatnya tidak mahu mempolitikkan, atau membesar-besarkan perkara itu.

Jika memperoleh surat kelulusan (daripada kerajaan), vaksin tetap didermakan kepada rakyat Pulau Pinang. Kalau tidak diluluskan, ketuanya, tambah Yong, akan menderma sumber lain bagi membantu orang ramai.

Sementara itu, timbul juga isu tidak cukup dos. Ini juga masalah serius walaupun ahli pemasaran Anoogrehan Manoharan, yang pertama membangkitkannya pada 19 Mei lalu, telah menerima suntikan semula empat hari kemudian.

Jelas Anoogrehan, dia diberi suntikan itu setelah BP Healthcare meneliti aduannya. Sejak melaporkan kecurigaannya (dan menunjukkan bukti dalam video), dia telah menghubungi pihak perundangan BP Healthcare mengenai keadaannya.

BP Healthcare, katanya amat baik dalam memaklumkan mengenai apa yang mereka sedang lakukan untuk mengatasi masalah, dan langkah seterusnya.

Anoogrehan kemudian diminta oleh BP Healthcare pergi ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur untuk divaksin semula dengan dos yang disyorkan pada 23 Mei lalu.

Isu tersebut timbul apabila Anoogrehan meneliti rakaman proses dia divaksin dan mendakwa tidak menerima dos sepenuhnya.

Menurut risalah maklumat produk yang terdapat di laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), satu dos vaksin AstraZeneca ialah 0.5ml.

Anoogrehan, 48, juga mendakwa orang yang menyuntik vaksin itu juga tidak menulis namanya pada borang persetujuannya.

Sedangkan, tambahnya, dia diberitahu yang ia sebahagian daripada SOP pemvaksinan.
Danial Abrar Bestari Abrar, yang juga menerima vaksin pada hari yang sama dan mengadu berkenaan kekurangan dos, telah menerima suntikan sekali lagi dua hari lalu.

Tunangnya, Siti Sarah Saiful Anwar kemudian di Twitter, memberitahu sesiapa yang merasakan tidak menerima dos yang mencukupi boleh menghubungi ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia, di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

Penyelewengan PICK 

Tidak keterlaluan jika dikatakan pelbagai masalah yang timbul berpunca dari penyelewengan PICK sendiri. Dari awal lagi program yang terdiri daripada tiga fasa ini tidak betul.

Mengikut ketetapan awal, Fasa 1 (Februari-April 2021) diperuntuk kepada barisan hadapan dan pekerja kesihatan perubatan yang bekerja di persekitaran berisiko tinggi, Fasa 2 (April-Ogos 2021) untuk golongan yang rentan, orang tua berusia 65 tahun ke atas dan mereka yang ada masalah kesihatan, dan Fasa 3 (Mei 2021-Februari 2022) untuk populasi dewasa yang berumur 18 tahun ke atas.

Meskipun kita bersetuju pegawai kanan kerajaan seperti PM, Menteri Kesihatan, Ketua Menteri, malah Ketua Pembangkang diutamakan menerima vaksin – untuk mencegah risiko gangguan besar dalam mentadbir negara ketika krisis kesihatan akibat COVID-19, tetapi mengapa semua wakil rakyat tanpa mengira usia atau status kesihatan mereka diberikan layanan istimewa?

Tanpa mengira wakil rakyat Kerajaan PN atau pembangkang-PH boleh disifatkan sebagai kenyataan umum. Bukan semua wakil rakyat sebaya, dan sihat sejahtera.

Jika niat Kerajaan PN untuk meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap vaksin dan mengikuti protokol rasmi, Yang di-Pertuan Agong (YdPA), Raja dan Sultan wajar diberikan vaksin terlebih dahulu sebelum PM.

Berdasarkan tiga fasa itu, memang YdPA, Raja dan Sultan tiada dalam senarai penerima vaksin. Namun demikian, mereka boleh dianggap berada dalam Fasa 3, iaitu populasi dewasa yang berumur 18 tahun ke atas.

Keputusan Mahiaddin memberikan vaksin awal kepada ahli Parlimen dan ADUN terlebih dahulu sebagai antipromosi, atau membunuh keyakinan masyarakat terhadap PICK.

Alasan Mahiaddin bahawa wakil rakyat sering harus bertemu dengan rakyat pada peringkat akar umbi, dan oleh itu berhak mendapat rawatan khas, serta perlindungan vaksin terlebih dahulu, tidak mantap.

Pekerja runcit dan pemandu bas, misalnya, memang turut bersemuka dengan orang ramai setiap hari, tetapi harus menunggu giliran untuk menerima vaksin.

Justeru, tidak keterlaluan jika ditanyakan apakah PM menganggap nyawa mereka tidak begitu penting, berbanding ahli politik yang dapat memotong barisan untuk vaksinasi?
Meskipun ada yang melanggar SOP, tetapi saya yakin wakil rakyat secara umumnya sedia, dan mampu patuh.

Oleh kerana telah mengubah ketetapan awal yang juga boleh dianggap memungkiri janji, berlakulah kelembapan dalam pelaksanaan PICK ini.

Berbilion RM telah digunakan untuk membeli vaksin, namun timbul pula kekecohan dan kritikan – bekalan tidak mencukupi.

Kenyataan pedas

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan pedas. Sambil bertanya apakah sebenarnya yang berlaku, beliau meminta kerajaan menyenaraikan nama syarikat yang membekalkan vaksin untuk Malaysia.

Oleh sebab kelembapan itu, ada yang meminta Khairy meletakkan jawatan. Mereka menganggap Khairy telah gagal menjalankan tugasnya, dan Malaysia ‘kena main’ dengan pembekal vaksin!

Menurut Hassan Abdul Karim, malang bagi Malaysia ada bangunan Parlimen 17 tingkat yang senyap sunyi kerana pintu-pintu Dewan Rakyat, dan Dewan Negara terkunci kemas.

Justeru, Anwar terpaksa menggunakan platform media sosial melalui video untuk meluahkan fikirannya terhadap PICK, terutama aspek proses pemerolehan vaksin itu dari luar negara.

Khairy yang bertanggungjawab mendapatkan vaksin tersebut dari para pengeluarnya telah menjawab dakwaan Anwar juga menerusi video yang kemudian tular di internet untuk tatapan warganet.

Jikalau, sebagaimana kata Hassan, kedua-dua video Anwar dan Khairy itu sah dan tulen, serta jelas tanpa kesangsian lagi, boleh diterima pakai, dan bukan sekadar dengar cakap (hearsay), maka terjawab kerinduan rakyat Malaysia akan perdebatan yang menarik antara dua tokoh tersebut.

Memang perdebatan berkualiti itu wajar berlangsung di Parlimen, bukan di alam maya menerusi video.

Namun begitu, dalam keadaan ‘tiada rotan, akar pun berguna’, Hassan cuba mengulas jawapan Khairy terhadap dakwaan Anwar.

Menurut Khairy, beliau telah menghadiri pendengaran di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan Parlimen (PAC) bagi menjelaskan secara terperinci berkaitan proses pemerolehan vaksin seperti soal harga, syarikat yang terlibat, jenis vaksin, dan kontrak perjanjian.

Hassan mengesahkan pernyataan Khairy itu benar kerana beliau hadir di Parlimen di sepanjang sidang Disember 2020, walaupun bukan anggota PAC.

Walau bagaimanapun, menurut Hassan, Khairy lupa memberitahu orang ramai melalui videonya bahawa laporan pendengaran berkenaan pemerolehan vaksin di hadapan PAC itu tidak dibentangkan di Dewan Rakyat kerana Parlimen telah digantung kemudiannya.

PAC juga tidak dibenarkan bersidang di sepanjang penggantungan Parlimen sehingga sekarang.

Jadi, ahli-ahli Parlimen dan orang awam tidak dapat membaca, serta meneliti laporan PAC yang amat penting itu. Inilah antara kesan buruk penggantungan Parlimen.

Akibatnya, penjelasan Khairy dalam videonya itu hanya bersifat penjelasan sepihak sahaja, tanpa Ketua Pembangkang dapat memeriksa laporan PAC yang tidak sempat dibentangkan itu.

Demi kebaikan rakyat

Hassan boleh mengesahkan laporan PAC itu tidak dibentangkan di Parlimen kerana beliau berada di Dewan Rakyat sehingga hari terakhir persidangan.

Meskipun sudah terlambat, tetapi Hassan percaya demi kebaikan rakyat dan negara, Mahiaddin perlu menasihati YdPA agar segera membuka sidang Parlimen, sekurang-kurangnya khusus untuk isu pemerolehan vaksin, PICK, dan perang menamatkan COVID-19.

Hassan percaya Khairy sebagai menteri yang bertanggungjawab bersedia menghadapi ahli-ahli Parlimen bagi menjelaskan beberapa perkara yang sedang mendesak.

Antaranya, isu mempercepat penglibatan kerajaan negeri dalam pemerolehan vaksin, isu mengenai peranan penting sektor swasta untuk membantu meringankan beban kerajaan dalam mendapatkan vaksin untuk para pekerja mereka, dan Khairy dapat berkongsi pandangan, serta menerima pandangan balas dengan ahli Parlimen berkenaan roadmap PICK.

Hassan percaya, dan menjadi harapan kita semua dalam soal pemerolehan vaksin, PICK, dan perang mengalahkan wabak pandemik; Khairy, Anwar dan semua ahli Parlimen PN dan PH, ataupun bebas tanpa parti akan berdiri bersama-sama sebagai patriot Malaysia yang sanggup mengenepi politik sempit, pandangan sektarian yang tersisih, serta ideologi yang tersasar, secara bipartisan sedia untuk bekerjasama demi rakyat, dan negara.

Mengenai pembahagian vaksin di Selangor yang dikatakan terlalu lambat, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud, mengatakan jumlahnya setiap kali sampai tidak diketahui.

Apa yang tidak kena? Apakah kerajaan pusat bermain politik dalam hal keselamatan rakyat?

Anwar turut membidas kerana Selangor menunggu terlalu lama. Satu pembohongan, kata beliau jika mengatakan bekalan vaksin tidak mencukupi.

Sebelum persoalan oleh Lim dan vaksin Sinovac ini, ada dua isu yang juga panas. Pertama, Mahiaddin pada awal PICK pernah mengumumkan sesiapa yang telah mendapat dua suntikan vaksin dibenarkan merentas negeri.

Walau bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan. Sementelah ketika itu hanya menteri Kabinet dan wakil rakyat sahaja yang telah menerima dua dos suntikan. Lagipun, mereka telah bebas ‘mengembara’ sebelum vaksin tiba di Malaysia lagi.

*RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.