Vaksin denggi Dengvaxia tidak digunakan di Malaysia – KP Kesihatan

Vaksin denggi Dengvaxia tidak digunakan di Malaysia – KP Kesihatan

Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan bahawa vaksin denggi pertama di dunia, Dengvaxia tidak diedar atau digunakan di mana-mana fasiliti kesihatan sama ada di sektor awam atau swasta di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana produk itu tidak diluluskan sebagai sebahagian daripada program imunisasi kebangsaan kementerian.

Sehingga kini tiada individu yang menggunakan produk Dengvaxia dan tiada program khas diadakan bagi produk itu di negara ini, katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penularan laporan di media cetak dan elektronik antarabangsa dan tempatan mengenai maklumat terkini berkaitan produk Dengvaxia serta penggantungan produk itu oleh Filipina susulan kenyataan yang dimuat naik oleh syarikat pengeluar produk berkenaan, Sanofi Pasteur di laman rasminya.

Dr Noor Hisham berkata pihaknya merujuk kepada kajian klinikal jangka masa panjang selama enam tahun telah mendapati walaupun vaksin Dengvaxia memberi perlindungan berkesan terhadap jangkitan denggi berulang bagi mereka yang pernah dijangkiti sebelum ini, vaksin itu turut mempunyai kesan pada tempoh sama bagi mereka yang tidak pernah dijangkiti denggi.

Selain itu, mereka yang tidak pernah dijangkiti denggi mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan denggi lebih serius sekiranya mereka diberi vaksin Dengvaxia itu.

Sehubungan itu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia hanya memberi kelulusan pendaftaran bersyarat selama dua tahun mulai 25 Nov tahun lepas kepada produk Dengvaxia keluaran syarikat Sanofi Pasteur.

Kelulusan diberi hanya untuk digunakan bagi kajian klinikal fasa empat iaitu pasca pendaftaran yang bertujuan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung keselamatan produk berkenaan. Di samping itu, syarikat pengeluar vaksin perlu memenuhi tujuh syarat yang ditetapkan sebelum produk itu dibawa masuk ke Malaysia,” katanya.

Kementerian melalui PBKD sentiasa mengutamakan keselamatan pengguna dan berhati-hati dalam meluluskan sebarang pendaftaran produk serta semasa penilaian sesuatu produk oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara bagi memastikan setiap produk memenuhi piawaian dan garis panduan yang ditetapkan.

Orang ramai diminta memastikan produk yang diguna telah berdaftar dan mempunyai pelekat hologram serta dilabel dengan nombor pendaftaran yang sah, semakan status pendaftaran sesuatu produk boleh dilakukan dengan melayari laman web di http://npra.moh.gov.my.

CATEGORIES