Malaysia Dateline

Vaksin, Panadol dan politik

Baru-baru ini saya pergi ke Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) untuk memgambil vaksin AstraZeneca atau lebih dikenali dengan AZ. PWTC memang ramai orang mengambil vaksin dan proses pengambilannya adalah bertahap tetapi berjalan dengan lancar.

Suatu perkara menarik hendak disebutkan di sini ialah selepas disuntik vaksin, para doktor akan menasihati kita jika demam ambil Panadol. Mungkin jika doktor kata jika demam ambil paracetamol ramai yang akan bertanya apa paracetamol itu, oleh itu paling mudah ambil Panadol jika demam.

Panadol atau satu jenama lagi Uphamol adalah sejenis paracetamol digunakan untuk melegakan ketidakselesaan yang disebabkan oleh sakit kepala, sakit gigi, sakit disebabkan oleh artritis, sakit otot, osteoarthritis, senggugut dan demam. Oleh itu Panadol seperti juga Uphamol ini adalah sejenis paracetamol.

Apa yang saya ketahui nama generik bagi ubat demam ialah Paracetamol, apabila dipasarkan oleh sesebuah syarikat ia diberi nama dagangan seperti Panadol dan selepas terbukti berkesan, ubat ini dijual dan dimasukkan dalam pasaran serta diberi jenama.

Apakah pula ubat generik? Ubat generik bukan ubat tiruan tetapi adalah ubat yang dikilangkan setelah tempoh paten ubat berjenama asal telah luput. Semua ubat generik perlu dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya dan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tetapi bagi rakyat Malaysia paracetamol itu disamakan dengan Panadol seolah-olah tiada paracetamol lain lagi. Maka untung tujuh keturunanlah syarikat yang menghasilkan Panadol sampai para doktor telah mengiklankannya secara percuma.

Begitu juga dengan Milo, ia adalah minuman bercoklat. Terdapat jenama lain seperti Ovaltine (kalau sesiapa masih ingat) dan beberapa jenama lagi tetapi sebahagian besar rakyat Malaysia hanya mengetahui minuman coklat bernama Milo. Begitu juga dengan kasut sekolah bernama Bata. Kalau dahulu semasa saya bersekolah saingan Bata adalah Fung Keong. Tidak dipastikan adakah syarikat ini masih hidup? Namun Bata adalah jenama kasut sekolah yang abadi di negara ini.

Begitu juga dengan Colgate sudah sebati dengan rakyat Malaysia walaupun terdapat jenama ubat gigi lain seperti Darlie (nama lama adalah Darkie dengan wajah kulit hitam senyum dengan gigi putih dan atas dasar wujudnya unsur perkauman telah ditukar kepada Darlie).

Oleh itu Panadol, Milo dan Bata (selain nama Fab, Breeze, sabun Cap Kapak, Colgate beberapa contoh) adalah jenama abadi yang digunakan rakyat Malaysia dalam pembangunan negara ini .Terdapat beberapa jenama makanan segera McDonald, Pizza Hut KFC dan minuman ringan F&N seperti oren dan sarsi yang merupakan hidangan minuman paling laris semasa menyambut hari raya.

Bayangkan bagaimana jenama Umno dan BN yang bersemadi di dalam fikiran orang Melayu dan rakyat Malaysia tiba-tiba kalah dalam pilihan raya lepas. Jenama Umno berada dalam keadaan tidak menentu setelah ahlinya termasuk bekas presiden dan pemimpin kanannya telah keluar menubuhkan Bersatu.

Jenama Umno dilihat berantakan dan berpecah kepada beberapa kumpulan dan dilihat tidak stabil untuk menguasai negara. Umno perlu bergabung dengan Pas dalam Muafakat Nasional dan berada di bawah payung Perikatan Nasional. Jenama Umno akan tinggal sejarah, Generasi muda tidak akan mengingat atau membayangkan jenama Umno atau BN menerajui negara lagi.

Masyarakat tidak lagi membeli dan menggunakan perkhidmatan Umno kerana mereka yang dalam Umno telah menjatuhkan parti mereka sendiri. Begitu dengan Bersatu, sebuah parti yang jenamanya diselaputi oleh mereka yang didakwa khianat kepada mandat rakyat yang telah diberikan semasa pilihan raya k-14 lalu.

Penjenamaan Bersatu dan Pas penuh dengan kekaburan dan kekeliruan mengenai bagaimana mereka mengendalikan ekonomi dan penularan wabak Covid-19. Bahkan dengan tekanan supaya parlimen dibuka selepas ketetapan penting yang diputuskan dalam Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja bahawa:

⁃ Parlimen perlu dibenarkan bersidang dengan segera dan secepat mungkin.
⁃ Perlunya sebuah kerajaan yang stabil, kukuh serta mendapat keyakinan majoriti rakyat.
⁃ Tiada keperluan melanjutkan tempoh darurat selepas 1 Ogos akan datang.

Nampaknya tentunya PN tidak seperti jenama Panadol yang dinasihatkan doktor selepas memberikan suntikan AZ. Umno pernah berada dalam kedudukan seperti Panadol suatu waktu dahulu walaupun tidak semua bersetuju. Ini kerana Umno menguasai media arus perdana sehinggalah kemunculan Internet dan media sosial yang membuka ruang untuk mengkritik parti arus perdana itu.

Kerajaan PN terbukti gagal kerana pengistiharan darurat tidak dapat menyelesaikan penularan Covid-19 dan tindakanya menggantung Parlimen juga tidak berjaya membendung kes COVID-19.

PKR menjadi jenama di mata rakyat kerana faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dirasakan tiada siapa lagi yang layak untuk menjadi perdana menteri sekarang. DAP mungkin semua telah tahu masih berprasangka dalam kalangan orang Melayu terutamanya di kawasan luar bandar sebagai sebuah parti yang anti-Melayu.

Dalam penjenamaan mana-mana parti politik perlulah pemiminnya berfikiran kritis, berbahas, berbincang soal dasar dan pembangunan yang prihatin rakyat. Perkara ini harus menjadi keutamaan ahli politik yang berkhidmat untuk rakyat atau menjadi hamba rakyat. Mereka tidak harus menumpiukan kepada aspek strategi politik seperti pengagihan kerusi, kepentingan bergabung dengan siapa, hendak jawatan apa, apa yang boleh dikuasai dan seribu macam persoalan yang sekadar kepentingan peribadi dan kelompok dan bukannya rakyat.

Persoalannya jika pilihan raya nanti gabungan parti manakah yang menjadi jenama di mata rakyat?

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)