Malaysia Dateline

Vaksin: Whistleblowers berjaya lumpuhkan cubaan ‘que jumpers’

Pendedahan bahawa terdapat beberapa pihak cuba memintas barisan untuk menjadi penerima awal suntikan vaksin Covid-19 mendapat perhatian Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTI), Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, selepas ini pemberi maklumat akan dibenarkan untuk menghantar emel secara ‘anonymous’ kepada beliau agar isu ‘que jumper’ dapat disiasat.

Beliau berkata demikian, sebagai maklum balas kepada aduan diutarakan pakar perunding nefrologi, Dr Rafidah Abdullah menerusi ciapan di Twitter @rafidah72 yang memaparkan satu tangkap layar mesej mengenai hal itu.

Mesej itu mendakwa, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan cuba ‘memotong barisan’ dan meminta agar 200 ahli SUK yang lain diberi suntikan vaksin sehingga petugas barisan hadapan terpaksa menangguhkan giliran mereka sendiri.

Menerusi satu hantaran terbaru di Facebook rasmi Rafidah, beliau mengucapkan tahniah kepada semua petugas-petugas kesihatan, ‘whistleblowers’ dan netizen Malaysia.

“Anda telah melumpuhkan cubaan manusia-manusia tidak bertanggungjawab menjadi “queue jumpers”.

“Terus tak jadi nak memintas barisan. Alhamdulillah. Kalau tidak angin, takkan pokok boleh bergoyang, kan. YB dan VIP: sila beri mereka laluan. Bagi habis dulu barisan petugas hadapan dapat vaksinasi. Terima kasih,” katanya.