Malaysia Dateline

Vaksinasi Covid-19 agenda Yahudi?

Data terkini daripada di laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menunjukkan bahawa sehingga 17 Mei 2021, seramai 10,182,880 orang penduduk sudah mendaftar vaksinasi dan sejumlah 1,186,999 penduduk sudah divaksinasi.

Laporan ini memberi gambaran bahawa hanya sekitar 30 peratus penduduk yang telah mendaftar vaksinasi Covid-19 dalam tempoh tiga bulan dibuka pendaftaran, masih jauh daripada sasaran 80 peratus (24 juta).

Kesedaran terhadap kepentingan vaksinasi Covid-19 untuk mencapai imuniti kelompok mesti diperluaskan kepada masyarakat agar lebih ramai yang mendaftar seterusnya mendapat vaksinasi.

Apabila imuniti kelompok tercapai, keadaan penularan jangkitan Covid-19 tidak dapat berlaku kerana sebahagian besar masyarakat itu mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap penyebab jangkitan virus itu.

Malangnya sesetengah masyarakat menolak vaksinasi Covid-19 dengan alasan ia agenda Yahudi, ada bahan haram, ada cip, boleh sebabkan kematian dan macam-macam lagi.

Bukti mereka hanya bergantung kepada video dan penulisan mereka yang bukan pakar dalam bidang vaksin dan vaksinasi.

Kefahaman yang sebenar dan tepat tentang vaksin dan vaksinasi ini wajib disebarkan kepada masyarakat agar mereka tidak mengambil keputusan yang salah dengan menentang dan menolak vaksinasi.

Penulis tertarik dengan hantaran seorang doktor perubatan, Dr Azizul Salehudin di laman Facebook mengenai persoalan berkaitan orang Israel tidak memakai pelitup muka.

“Ada yang tertanya-tanya, di Israel tak ada Covid-19 ke? Kenapa dalam TV nampak ramai
orang Israel tak pakai mask?”

Jawapan: Sebenarnya, di Israel mereka telah capai ‘herd immunity’ sejak bulan lepas lagi. Hampir 100% penduduk di Israel telah dapat suntikan vaksin penuh.

Hasilnya, mereka dah boleh hidup macam biasa, sebab dah selamat.”

Walaupun negara haram itu kejam dan zalim yang menjajah Palestin, namun kejayaannya dalam mengekang Covid-19 melalui vaksinasi boleh dijadikan teladan.

Jadi, terungkailah kepada kita bahawa vaksin dan vaksinasi itu bukan agenda Yahudi. Jika ia agenda Yahudi, kenapa orang Yahudi ambil juga vaksin jika tahu ia memudaratkan atau mengorbankan mereka?

Dari sudut agama, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember 2020 mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Sehubungan itu, bagi mereka yang Muslim sewajarnya tidak mempertikaikan hukum vaksinasi ini dengan pelbagai alasan dan hujah yang tidak kukuh kerana fatwa ini diputuskan mengambil kira pelbagai hujah, bukti saintifik dan maqasid syariah bagi memelihara nyawa manusia.

Dalam pada itu, usaha Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) wajar dipuji kerana telah melancarkan kempen advokasi dan kesedaran vaksinasi Covid-19 bagi meningkatkan lagi keprihatinan dan bilangan pendaftaran vaksinasi dalam kalangan masyarakat.

NGO kesihatan ini juga telah menyeru ahli-ahlinya dalam kalangan doktor dan pakar perubatan di seluruh negara untuk turut sama turun padang membantu kempen kesedaran ini dalam program-program yang diadakan di kawasan masing-masing.

Kita mengharapkan lebih banyak pihak yang dapat bekerjasama bagi menyedarkan masyarakat tentang kepentingan vaksin dan vaksinasi.

Bagi yang belum mendaftar vaksinasi Covid-19, daftarlah segera. Vaksinasi bukan hanya untuk melindungi diri kita, bahkan untuk melindungi orang lain di sekeliling kita.

——————————————

Penulis dari Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia