Malaysia Dateline

Vandalisme: Jumlah CCTV, kawalan di Taman Tasik Titiwangsa dipertingkat

Dukacita dengan laporan vandalisme di Taman Tasik Titiwangsa yang baru dibuka semula, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad hari ini mengarahkan jumlah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan kawalan di taman itu dipertingkatkan.

“Kita baru sahaja buka taman tersebut untuk orang ramai tetapi malangnya ada golongan yang bangga merosakkan harta awam,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis penyampaian Sijil Peserta Program Pementoran Keusahawanan Start Up dan Scale Up Wilayah Persekutuan, pada Isnin.

Media melaporkan beberapa kemudahan di Taman Tasik Titiwangsa menjadi sasaran vandalisme selepas dibuka beberapa jam pada Ahad lepas setelah ditutup sejak 1 Sept 2018 untuk kerja ubah suai.

Antara kerosakan yang dilakukan membabitkan papan tanda dan perbuatan membuang sampah merata-rata.

Khalid berkata masalah  vandalisme tidak seharusnya wujud memandangkan taman itu  telah lama ditunggu warga kota untuk dibuka semula bagi menikmati keindahan pemandangan hijau di tengah-tengah bandaraya.

Beliau berkata gejala vandalisme boleh dielak sekiranya masyarakat menanam sikap menghargai dan menjaga bersama harta awam.

Dalam pada itu, Khalid berkata taman itu akan dibuka secara rasmi pada tahun hadapan namun tarikh sebenarnya tidak dapat dinyatakan buat masa ini.

“Terdapat satu ke dua perkhidmatan yang masih belum dapat disediakan buat masa ini tetapi kerana taman itu sudah cantik dan ramai sudah dapat lihat keindahannya jadi kita merasakan untuk membukanya kepada orang awam terlebih dahulu,’ katanya.

Mengenai masalah penggunaan basikal melalui operator tak berlesen di taman itu, Khalid berkata pihak terbabit seharusnya berjumpa dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membolehkan mereka menjalankan perniagaan secara sistematik.

”Bukan kita tidak bagi, kita boleh bagi mereka berniaga tetapi perlu ada lesen dan ikut peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

–BERNAMA