Vape dan shisha turut dicadang supaya dilarang di semua premis makanan

Vape dan shisha turut dicadang supaya dilarang di semua premis makanan

Rokok elektronik (vape) dan shisha dicadangkan supaya turut disenarai di bawah peraturan larangan merokok di semua premis makanan yang akan dikuatkuasakan tahun depan.

Prinsipal Akademi Farmasi Malaysia Prof Madya Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed dalam mengutarakan cadangannya berkata selain untuk menjaga kesihatan awam, penggunaan rokok elektronik sememangnya sudah dimasukkan sebagai takrifan merokok dalam pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau.

“Selain itu, kita juga tahu hampir kesemua perisa vape yang digunakan pengguna alatan itu mengandungi nikotin, iaitu bahan kawalan di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983 di mana ia sepatutnya  hanya boleh dijual pengamal perubatan berdaftar seperti ahli farmasi ataupun doktor.

“Wap yang dihasilkan daripada aktiviti ‘vaping’ tidak kira sama ada daripada perisa yang mengandungi nikotin atau tidak, boleh menimbulkan kesan kepada kesihatan dan ketidakselesaan kepada orang-ramai, ” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagi shisha pula, ia sememangnya mengandungi bahan daripada tembakau yang termasuk di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau dan wajar turut dilarang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata vape dan shisha tidak termasuk dalam peraturan larangan berkenaan tetapi kementeriannya masih dalam peringkat perbincangan untuk menguatkuasakan peraturan melibatkan produk-produk itu.

Menurut Dr Mohamad Haniki cadangan mengadakan kawasan khas untuk pengguna produk berkaitan tembakau di premis makanan adalah sesuatu yang boleh dipertimbangkan, namun pilihan yang lebih baik ialah mereka berhenti dari mengambilnya dengan bantuan ubat-ubatan yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Contohnya mereka boleh mengunyah gula-gula nikotin. Langkah terbaik ialah berhenti merokok atau menggunakan sebarang produk tembakau lain agar risiko penyakit dan kematian dapat dikurangkan dengan signifikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar semua produk berkaitan tembakau tidak kira rokok, vape mahupun shisha hanya dijual di premis khas dan berlesen bagi mengawal penggunaannya dalam kalangan masyarakat.

“Pada ketika ini banyak terdapat produk tembakau yang tidak berdaftar termasuk rokok dan perisa vape. Jika kita menetapkan penjualannya di premis berlesen yang dijaga pengamal perubatan berdaftar, kita boleh mengawal kerana kita tahusiapa yang menjualnya,” katanya.

— BERNAMA