Malaysia Dateline

Varian baharu Covid-19: Lelaki 20-an di Colorado jadi kes pertama

Colorado mencatatkan kes pertama di Amerika Syarikat membabitkan varian baharu Covid-19, yang berasal dari Britain.

Gabenor Colorado, Jared Polis berkata, pihaknya menemui varian Covid-19 itu, yang cepat menular, sebagaimana dikesan pertama kali di United Kingdom (UK).

“Hari ini kami mengesan kes pertama varian Covid-19 B.1.1.7 di Colorado, varian yang sama ditemui di UK.

“Kesihatan dan keselamatan penduduk Colorado adalah keutamaan kami dan kami akan memantau dengan teliti kes ini,”katanya melalui ciapan Twitter semalam.

Beliau yang memetik pegawai kesihatan negeri sebagai berkata, individu itu adalah lelaki berusia 20-an yang kini menjalani kuarantin di Elbert County dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke UK.

Individu tersebut tidak mempunyai kontak rapat, tetapi keadaannya akan terus dipantau dengan sangat teliti sambil pihak berkuasa berusaha mengenal pasti kes-kes lain yang berpotensi melalui pengesanan kontak.

Dua kes varian pertama di benua Amerika Utara ditemui di Kanada pada akhir minggu lalu.

Kebimbangan tercetus oleh varian baharu Covid-19, yang menurut pakar, berpotensi lebih mudah ditularkan.

Badan Kesihatan Kesatuan Eropah (ECDC) mendedahkan, lebih 3,000 kes varian itu dilaporkan di UK serta puluhan negara di Eropah dan di seluruh dunia.

Di Afrika Selatan, lebih 300 kes varian lain direkodkan.

Tiga kes varian terbabit disahkan di Eropah iaitu dua di UK dan satu di Finland tetapi ketiga-tiganya dikaitkan dengan individu yang kembali dari Afrika Selatan.