Malaysia Dateline

Varian Omicron: Protokol baharu terhadap pengembara mulai esok

Kementerian Kesihatan (KKM) mulai esok akan melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan pencegahan penularan Covid-19 khusus ke atas pengembara yang tiba di Malaysia mengikut lima kategori.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia membabitkan pengembara bagi Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Udara dan Darat, Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) serta Pusat Sehentian (OSC) pelawat perniagaan jangka pendek masing-masing di Kategori 1, 2, 3 dan 4.

Selain itu, jelasnya dalam satu kenyataan, pengembara dari negara dikenakan sekatan perjalanan sementara dan melaporkan penularan varian membimbangkan (VOC) Omicron dalam komuniti, masing-masing disenaraikan ke dalam Kategori 5 dan 6.

Untuk rekod, Khairy pada 3 Disember lalu mengumumkan kes pertama Omicron membabitkan seorang pelajar yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rembau tersebut berkata, penetapan baharu itu bertujuan mencegah kemasukan dan penularan varian baharu Covid-19, Omicron ke Malaysia.

“Bagi pengembara kategori 1 hingga 4, tindakan pengukuhan kepada langkah pencegahan dan kawalan sedia ada adalah mereka mesti lengkap divaksin.

“Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) Covid-19 dilakukan dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia, menggantikan prosedur terdahulu yang menetapkan 72 jam sebelum berlepas.

“Ujian pengesanan Covid-19 semasa ketibaan di Malaysia, ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) atau ujian pantas antigen (kendiri) pada hari kedua, keempat dan keenam selepas ketibaan.

“Ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (professional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan dengan semua keputusan ujian perlu dilaporkan melalui aplikasi MySejahtera,” jelasnya hari ini.

Menurutnya lagi, pengembara dari negara dikenakan sekatan perjalanan sementara, termasuk warganegara dan pemegang pas lawatan jangka panjang perlu menjalani ujian RT-PCR Covid-19 dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia.

Selain itu, pemakaian peranti pengesanan digital sepanjang tempoh kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi, selain prosedur kuarantin dan pengujian semasa ketibaan dan sepanjang tempoh kuarantin adalah mengikut prosedur sedia ada.

“Pengembara dari negara melaporkan penularan varian Omicron dalam komuniti (kategori 6), termasuk warganegara dan bukan warganegara, perlu melakukan ujian RT-PCR Covid-19 dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia.

“Pemakaian peranti pengesanan digital sepanjang tempoh kuarantin wajib dengan tempoh kuarantin bergantung kepada status vaksinasi serta prosedur sedia ada diumumkan sebelum ini masih berkuat kuasa,” tambah Khairy lagi.