Velazquez kembali perkuatkan JDT

Velazquez kembali perkuatkan JDT

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) sudah melengkapkan perpindahan bekas penyerang pasukan berkenaan, Leandro Sebastian Velazquez daripada sebuah kelab di Mexico, Veracruz.

Menurut JDT dalam catatan terbaharu di laman Facebook rasmi mereka, Johor Southern Tigers, pemain kelahiran Argentina berusia 29 tahun itu akan membuat penampilan pertamanya bersama skuad Harimau Selatan menentang Melaka United dalam aksi keempat Liga Super di Stadium Larkin, Sabtu ini.

Sebagai rekod, Velazquez menjaringkan gol kemenangan JDT ketika menewaskan kelab Istiklol FC dari Tajikistan, 1-0, sekali gus muncul kelab pertama dari Asia Tenggara menjulang Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 2015.

JDT memaklumkan Velazquez ditawarkan kontrak sebelum jendela perpindahan pertama Liga Malaysia 2019 ditutup, malam semalam.

Velazquez menggantikan Aaron Niguez selepas JDT melepaskan penyerang Sepanyol itu.

Sementara itu, pengurus JDT, Luciano Figuero dalam laman Facebook tersebut, berkata kelab berkenaan memutuskan untuk melepaskan Niguez bagi memperkukuhkan skuad sedia ada.

“Ini berdasarkan pemerhatian yang dilakukan semasa latihan dan beberapa perlawanan kompetitif.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Aaron Niguez yang membantu skuad Johor Darul Ta’zim FC (JDT) merangkul Piala Sumbangsih 2019,” kata Figueroa.- BERNAMA