Velesto peroleh lanjutan kontrak RM115 juta bagi North Malay Basin

Velesto peroleh lanjutan kontrak RM115 juta bagi North Malay Basin

Velesto Energy Bhd (VEB) hari ini memaklumkan unitnya telah menerima lanjutan kontrak daripada Hess Exploration & Production Malaysia B.V. (Hess) bagi pembekalan perkhidmatan dan rig penggerudian bicu suhu tinggi tekanan tinggi untuk North Malay Basin, Malaysia pada US$38 juta (kira-kira RM155 juta).

Dalam kenyataan VEB kepada Bursa Malaysia hari ini, lanjutan kontrak itu bagi pembekalan perkhidmatan rig penggerudian kepada Program Penggerudian Hess, dengan VEB Group akan membekalkan satu daripada rignya, NAGA 8, untuk kontrak ini.

Kontrak ini bertempoh 18 bulan dengan pilihan lanjutan seterusnya, dan nilainya dianggarkan US$38 juta, mula laksana pada suku kedua 2018.

NAGA 8 merupakan rig bicu julur tapak bebas premium yang mempunyai keupayaan kedalaman penggerudian 30,000 kaki dan kadar operasi dengan kedalaman air 400 kaki.

VEB berkata pembekalan perkhidmatan ini dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan dan aset bersih VEB Group sepanjang tempoh kontrak bagi tempoh kewangan berakhir 31 Dis, 2018.

— BERNAMA