Venezuela: Guaido ikrar singkirkan Presiden Maduro

Venezuela: Guaido ikrar singkirkan Presiden Maduro

Ketua parti pembangkang Venezuela, Juan Guaido berikrar untuk mengambil alih jawatan Nicolas Maduro sebagai presiden “tidak lama lagi”.

“Kita perlukan sebuah pejabat untuk bekerja, tidak lama lagi pejabat di Miraflores akan jadi milik kita,” kata Guaido di hadapan ribuan penyokongnya yang mengadakan bantahan terhadap Maduro di Caracas.

“Saat kegelapan Venezuela akan berakhir,” katanya yang diiktiraf sebagai presiden sementara oleh lebih 50 buah negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, pendakwa raya Venezuela, Tarek William Saab berkata kepada pemberita Guaido akan disiasat kerana terbabit dalam tindakan mensabotaj bekalan elektrik di negara itu.

Maduro mendakwa Washington sebagai dalang di sebalik gangguan bekalan elektrik di Venezuela dan menyeru sokongan dari sekutunya termasuk Rusia dan China serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat serangan “siber” yang dilakukan AS.

AS terus memberi tekanan ke atas Maduro dan baru-baru ini Washington dilaporkan akan mengenakan sekatan tambahan kepada institusi yang menjalankan perniagaan dengan Maduro.

Kerajaan Maduro mula mengedarkan makanan, air dan bantuan lain ke beberapa daerah pada Selasa.

Beliau juga menyeru kumpulan dikenali sebagai “colectivos” untuk bertindak balas terhadap serangan AS ke atas bekalan elektrik.

— BERNAMA-