Venezuela panggil pulang pegawai diplomatiknya di AS

Venezuela panggil pulang pegawai diplomatiknya di AS

Presiden Venezuela Nicolas Maduro pada Khamis mengumumkan akan memanggil pulang pegawai diplomatiknya dari Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Anadolu.

Semua kakitangan diplomatik akan meninggalkan AS pada Sabtu selepas kedutaan dan konsulatnya di negara itu ditutup, kata Maduro semasa berucap di Caracas.

Langkah itu diambil sehari selepas Maduro mengumumkan Venezuela memutuskan hubungan diplomatik dengan Washington dan memberi tempoh 72 jam kepada diplomat AS untuk meninggalkan Caracas.

Washington tidak mengendahkannya dan mengatakan pegawai diplomatik akan terus tinggal di negara itu atas jemputan pemimpin pembangkang Venezuela, Juan Guaido.

Guaido mengistiharkan dirinya presiden sementara Venezuela selepas ribuan penunjuk perasaan berarak menentang penggal baru pemerintahan Maduro apabila pemimpin itu dilihat gagal mengatasi masalah ekonomi.

Pada Khamis, AS menyeru negara di dunia Barat bersama-sama mengiktiraf Guaido sebagai presiden sementara sekaligus menjadikan kerajaan Venezuela diiktiraf antarabangsa.

Negara lain turut menyuarakan sokongan terhadap Guaido seperti Argentina, Brazil, Kanada, Chile, Colombia, Costa Rica, Guatemala, Honduras, Panama, dan Paraguay menerusi Kumpulan Lima.

— BERNAMA