Malaysia Dateline

Venezuela usir duta Jerman

Venezuela pada Rabu mengarahkan duta besar Jerman meninggalkan negara itu selepas duta terbabit menyatakan sokongan kepada pemimpin pembangkang, Juan Guaido lapor agensi berita Anadolu.

Menteri Luar, Jorge Arreaza menuduh Daniel Kriener cuba “mengganggu serta mencampuri hal ehwal dalam negara” dan memberikan tempoh 48 untuk duta itu meninggalkan Venezuela.

Duta itu kini “diisytiharkan sebagai persona non grata,” kata jurucakap Kementerian Luar Jerman.

Menteri Luar Jerman, Heiko Maas berkata dalam satu kenyataan berkata keputusan itu sukar untuk difahami dan dilihat tidak langsung menyumbang kepada mewujudkan kestabilan.

Venezuela dibelenggu protes sejak 10 Januari lalu, ketika Maduro mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden untuk penggal kedua,  menyaksikan majlis itu diboikot pembangkang.

Ketegangan tercetus apabila Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden 23 Januari lalu, disokong AS dan kebanyakan  negara Eropah serta Amerika Latin.

Turki, Rusia, Iran, Cuba, China dan Bolivia pula menyokong Maduro dan negara itu berikrar  memutuskan semua hubungan diplomatik dengan AS.

Presiden Donald Trump didakwa sedang merancang untuk campur tangan di Venezuela dan mengatakan langkah ketenteraan mungkin antara pilihan bagi menamatkan krisis di negara itu.

Venezuela kini bergelut masalah kekurangan makanan dan ubat-ubatan selain kadar inflasi yang tinggi, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa.

— BERNAMA