Malaysia Dateline

Vertice dapat kontrak LRT 3 bernilai RM100 juta

Vertice Construction Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Vertice Bhd menerima sub-kontrak bernilai  RM100 juta daripada Reaplite Industry Sdn Bhd (Reaplite) berhubung projek Transit Aliran Ringan 3  (LRT3).

Reaplite merupakan kontraktor utama bagi jejambat pratuang bagi LRT 3 dari Bandar Utama ke Johan Setia.

“Kerja-kerja yang akan dilaksanakan di bawah sub-kontrak ini merangkumi penawaran buruh/pekerja, material, peralatan, perkakasan dan mesin untuk jejambat tersebut.

“Tempoh pembinaan dianggarkan selama 24 bulan, bermula hari ini sehingga 5 Mac, 2021,” menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Vertice berkata sub-kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan kumpulan dan aset ketara bersihnya sepanjang tempoh kontrak itu.

— BERNAMA