Malaysia Dateline

Veteran ATM jangan tolak tuah

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengingatkan para pengundi terutama golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terus menyokong parti Warisan Sabah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 kali ini.

Beliau berkata, veteran ATM tidak harus terpengaruh dengan pihak yang sibuk melaungkan hidup Melayu tetapi dialah yang menjual harta Melayu.

Bekas Menteri Pertahanan itu juga menyifatkan rakyat Sabah sebagai menolak tuah sekiranya tidak memilih Warisan yang diterajui Ketua Menteri, Shafie Apdal.

“Hari ini mereka (Umno) jerit Melayu, tetapi merekalah yang curi Tabung Haji, tambah pula bekas-bekas Ketua Menteri Sabah.

“Kita pergi Kundasang, ada yang tunjuk ini tanah bekas Ketua Menteri. Kita pergi Tawau, ada juga yang tunjuk ini tanah bekas Ketua Menteri. Saya tak mahu sebut nama. Kita ke Kota Kinabalu pun sama, ada tanah bekas Ketua Menteri.

“Ertinya, mereka ini jadi pemimpin politik yang mengkayakan diri. Itu yang disebut tadi, orang ini dapat 10,000 ekar tanah, orang itu pula dapat 50,000 ekar tanah. Hanya Shafie Apdal sahaja yang mula menganugerahkan tanah kepada rakyat,” ujarnya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata demikian semasa sesi Majlis Ramah Mesra bersama Veteran ATM di Tanjung Keramat hari ini.

Beliau turut mengingatkan tentang tentang 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berhubung kontrak konsesi balak.

“Kalau veteran tentera tak undi Ketua Menteri yang macam ini memang rugi dan tolak tuah. Nak Ketua Menteri macam dulu? Boleh. Tengoklah 46 kes tuduhan, satu pun tak dibicarakan lagi,” katanya.

Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Jun lalu melepas dan membebaskan Musa daripada semua tuduhan terbabit.

Mohamad juga secara berseloroh berkata, sekiranya wakil rakyat yang dipilih kali ini juga mencuri seperti bekas Ketua Menteri terdahulu, mereka akan dipecat serta-merta.

“(Sebagai) calon, kamu jangan jadi pencuri macam Ketua Menteri yang dulu. (Sekiranya tidak) kita pecat 24 jam,” tegasnya lagi.