Veteran Hollywood kumpul dana terbit filem MALAYSIA 370

Veteran Hollywood kumpul dana terbit filem MALAYSIA 370

 

Eksekutif Kanan, Penggiat Veteran Hollywood, Darlene Lieblich Tipton, memaklumkan mahu menerbitkan sebuah filem berkisahkan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH 370 yang masih misteri kepada penduduk dunia.

Darlene Lieblich Tipton

Darlen berkata, langkah pertama yang diatur bagi menjayakan filem bertajuk ‘MALAYSIA 370’ ini adalah, dengan mengumpul dana melalui platform pendanaan awam (crowdfunding).

“Setakat ini saya telah mengumpulkan lebih daripada RM5.6 juta (USD 1.4 juta). Sejumlah RM2 juta (USD 500,000) daripada jumlah berkenaan adalah simpanan persaraan saya dan selebihnya daripada rakan-rakan, keluarga dan penyokong filem.

“Pembikinan filem ini dijangka menelan kos minima RM30 juta (USD 7.5 juta) dan kos maksima mencecah sehingga RM120 juta (USD 30 juta).

“Orang ramai boleh menyumbang dengan memuat turun lagu temanya, iaitu ‘Remember Me’ yang mempunyai irama dan lirik seolah-olah menyampaikan pesanan penumpang MH370 kepada orang tersayang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Darlene berkata, pra-produksi akan bermula secepat mungkin, iaitu sebaik sahaja sasaran dana tercapai.

“Dana yang diterima daripada penjualan, sewaan, dan pengedaran filem MALAYSIA 370 akan disalurkan kepada keluarga 239 penumpang pesawat MH370.

“Kami menyasarkan untuk memberi sumbangan RM400,000 (USD 100,000) kepada setiap keluarga, yang akan menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM95.6 juta (USD 23.9 juta),” katanya yang akan menjadikan Culver Studio sebagai lokasi penggambaran.

Projek filem ‘MALAYSIA 370’ itu didedikasikan bagi memperingati 239 penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines #370.

TAMAT