Malaysia Dateline

Mustafa Ali

Veteran Pas yakin kerajaan PN kekal hingga Julai

Spekulasi yang mendakwa perubahan kuasa bakal terjadi untuk kali kedua dengan menyaksikan pemerintahan dikembalikan kepada Pakatan Harapan (PH), hanya akan diketahui dalam sidang Parlimen Julai ini.

Bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berpendapat tidak mungkin akan berlaku perubahan kerajaan seperti yang berlaku baru-baru ini berdasarkan suasana undang-undang dan Perlembagaan.

Jelasnya, desas-desus yang tersebar ketika ini adalah semata-mata perang saraf yang dilakukan oleh pihak berkepentingan.

“Petunjuk paling awal tentang kedudukan kerajaan ialah sidang Parlimen bulan Julai akan datang.

“Bila Parlimen bersidang, setiap Ahli Parlimen mesti menyatakan dengan jelas kepada urusetia Parlimen tentang pendiriannya sama ada bersama kerajaan atau pembangkang.

“Susunan tempat duduk dalam Parlimen akan menunjukkan dengan jelas berapa ramai penyokong kerajaan dan berapa ramai pembangkang,” katanya.

Veteran Pas itu berkata, setakat ini, itulah petanda paling awal untuk menentukan nasib kerajaan Perikatan Nasional.

Namun beliau menegaskan sambil mengulangi bahawa tidak akan berlaku apa-apa perubahan terhadap kerajaan selagi sidang Parlimen tidak diadakan pada Julai ini.

Tambah Mustafa, apa yang boleh dilakukan pembangkang ialah mengusulkan undi tidak percaya terhadap kerajaan di dalam Parlimen.

“Disinilah pertarungan sebenar dalam menentukan kedudukan kerajaan sama ada kerajaan yang ada ini akan kekal atau tidak, (tetapi) tidak sebelum itu.

“Usul undi tidak percaya ini ada proses dan prosedurnya yang tersendiri dalam Parlimen.

“Speaker mempunyai peranan penting di sini sama ada menerima atau tidak usul ini untuk dibahaskan dan bila akan dibahaskan,” ulasnya.

Walaubagaimana pun, beliau menjelaskan, sekalipun usul tersebut diterima untuk dibahaskan, namun ia tidak boleh mendahului urusan kerajaan yang lainnya.

Ini bermakna, urusan mahupun agenda yang dibawa oleh kerajaan mestilah diselesaikan terlebih dahulu dalam masa sidang dewan yang ditetapkan.