Malaysia Dateline

Veteran Umno akui memang ada gerakan pungut SD tumbangkan Muhyiddin

Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, beliau difahamkan memang berlaku gerakan memungut tandatangan Akuan Bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen bagi menumbangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tapi gerakan memungut SD dari ahli-ahli Parlimen, saya dengar, memang berlaku.

“Buat masa ni, semua anggota Jemaah Menteri PB kita anggapkan tetap taat setia kepada TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebagai PM mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Bekas ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata demikian sebagai reaksi terhadap satu kenyataan yang didakwa daripada pihak Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kenyataan bertarikh 13 Jun yang memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba menggugat kepimpinan PM itu kemudiannya disahkan palsu oleh Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menerusi kenyataan palsu itu, turut disebut tentang “gerakan-gerakan khianat yang secara agresif” sedang cuba menjatuhkan Muhyiddin.

“Gerakan ini adalah tindakan jijik dan politik kotor yang harus dikecam yang juga boleh membinasakan lagi nasib rakyat Malaysia yang sedang derita dalam kemelut pandemik Covid-19.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya gerakan khianat ini dan aduan disiplin terhadap beberapa individu-individu yang terlibat akan dilaporkan kepada lembaga disiplin parti,” dipetik dari kenyataan palsu yang tular itu.

Sebelum ini, nama Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga yang juga Ketua Umno Bahagian Sembrong disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri bagi menggantikan Muhyiddin atau nama sebenarnya, Mahiaddin Yassin.

Mengulas lanjut kenyataan Armada yang kemudiannya dikatakan palsu itu, Shahrir berpendapat hal yang sungguh menarik adalah apa yang disuarakan iaitu adanya ‘gerakan-gerakan khianat’ dalam PN itu sendiri untuk ‘cuba menumbangkan Perdana Menteri dengan mengumpulkan tandatangan SD ahli-ahli Parlimen’.

“Kalau sesama Perikatan Nasional, hanya libatkan dalaman PPBM dan Pas sahaja. Umno tidak berada dalam PN.

“Pas ke? Walaupun Pas boleh berdolak-dalik, terutama Setiausaha Agungnya yang boleh beralih dari ‘sains dan data’ kepada ‘mengalihkan tiang gol’ sehingga ‘mengubah peraturan permainan bola’ di tengah-tengah permainan untuk bantu referee buat keputusan, tapi pengkhianatan politik tidak mungkin,” katanya.

Oleh sebab itu, Shahrir berpendapat gerakan khianat itu ada dalam Bersatu memandangkan sebahagian besar dalan parti bunga raya itu adalah mereka yang telah mengkhianati parti asal mereka sendiri.

LANJUT MENYUSUL