Veteran Umno akui PRU14 hidup mati BN, PH tampil kredibiliti

Veteran Umno akui PRU14 hidup mati BN, PH tampil kredibiliti

Veteran Umno, Tan Sri Syed Hamid Albar mengakui Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai amat penting kerana ia menentukan hidup mati rejim parti yang telah mendapat mandat sejak pilihan raya kali pertama itu.

Menurut bekas Menteri Kabinet itu, Pakatan Harapan (PH) dan Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan bersungguh-sungguh mahu mengalahkan BN.

Kesungguhan tersebut, jelasnya, dibuktikan dengan tawaran Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar Ibrahim.

“Pada saya, (PRU14) ini adalah kerana hidup mati Barisan Nasional (BN) bergantung kepada pilihan raya ini. Sekiranya ia gagal menerajui semula kerajaan, implikasinya amat besar dan berat, terutamanya kepada Umno.

“Tekanan kepada Umno sungguh ketara sekali. BN menganggap PRU pada kali ini sebagai bapa kepada segala pilihan raya,” dipetik daripada artikelnya di akhbar Mingguan Malaysia, 15 April lalu.

Menggelar PRU14 sebagai ‘pertembungan sengit dan ganas’, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu menyeru Umno-BN keluar daripada zon selesa.

Jelasnya, pengundi muda yang hidup pada era ledakan media sosial dan Revolusi Industri 4.0 mahu wakil rakyat yang terbaik.

“Mereka (pengundi muda) mahukan calon yang jujur, membela kepentingan rakyat, bercakap benar, boleh berkomunikasi secara efektif dan berkesan, memiliki kebijaksanaan dalam isu-isu semasa serta tawaduk dan tidak sombong.

“Inilah pilihan raya yang paling luar biasa kerana parti lawan membentangkan kepincangan kerajaan kepada rakyat dan menampilkan kepada pengundi mereka memiliki kredibiliti untuk mengambil alih kuasa dan merupakan alternatif baharu yang boleh diberikan mandat memerintah negara,” jelasnya.

Untuk rekod, Syed Hamid tahun lalu pernah dilapor amat terkejut dengan keputusan Najib Razak melantik bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menggantikannya di SPAD.

Walaupun tidak mengulas lanjut sama ada pelantikan Isa itu tepat atau tidak, beliau hanya mendoakan pemimpin Umno yang terpalit banyak kontroversi itu berkenaan menjalankan tugas dengan baik.

“Saya rasa terkejut, sama seperti apa yang dirasai oleh semua rakyat,” kata Syed Hamid kepada Sin Chew Daily.

7.4
OVERALL SCORE
4 user votes x 9.3