Malaysia Dateline

Veteran Umno dakwa Khairy mahu sekat jentera parti berkempen

Veteran Umno mendakwa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin seolah-olah mahu mengekang jentera parti itu berkempen untuk membantu parti mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub, berpendapat Khairy yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau mempunyai niat tidak baik terhadap parti itu apabila tidak membenarkan perhimpunan ramai sehingga 27 November ini.

Mustapha berkata, larangan perjumpaan dan perhimpunan politik ketika berkempen untuk PRN Melaka sebagai tidak wajar dan tidak beretika.

Tegasnya, larangan berkuat kuasa kelmarin itu akan memberi nafas kepada Bersatu untuk menggerakkan jenteranya yang lemah bagi menghadapi Umno.

“Tidak dapat dinafikan Umno mempunyai jentera yang rapi dan tersusun bagi menjamin kemenangan PRN Melaka berbanding jentera Bersatu yang lemah dan tidak teratur walaupun dengan sokongan jentera Pas.

“Oleh itu, Veteran Umno mendesak Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) supaya membenarkan kempen PRN Melaka ini dengan SOP (prosedur operasi standard) ketat termasuk melarang semua menteri dan timbalannya berkempen,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dalam masa sama, Mustapha mempertikaikan tindakan Khairy yang mengeluarkan arahan itu dan bukannya Ismail Sabri atau Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Kalau majlis sosial lain seperti kenduri dibolehkan, maka apa salahnya dengan majlis kempen. Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh mengenakan SOP lebih ketat ketika berkempen, contohnya mengehadkan kehadiran dalam sesuatu perjumpaan.

“Sekiranya larangan itu bertujuan untuk menghalang daripada menteri turut berkempen demi menjaga ‘air muka’ mereka kerana berada dalam keadaan serba salah untuk menyokong calon bertanding, maka kerajaan boleh mengarahkan semua menteri jangan hadir dan duduk di pejabat buat kerja.

“Ia tidak menjatuhkan maruah menteri dan biar jentera parti yang buat kerja kempen,” tempelaknya lagi.