Veteran Umno Kelantan parah ditetak dua lelaki

Veteran Umno Kelantan parah ditetak dua lelaki
ASP Wan Khairuddin Wan Idris

Timbalan Pengerusi Veteran UMNO Kelantan Datuk Kamaruddin Abdullah cedera parah diserang dua lelaki menggunakan senjata tajam kira-kira pukul 7.30 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Wan Khairuddin Wan Idris berkata mangsa ditetak pada bahagian kepala dan badan oleh dua lelaki bermotosikal.

“Keadaan mangsa agak stabil dan kini sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.

“Kes akan disiasat secara terperinci mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian itu, Kamaruddin dikatakan diserang dua lelaki ketika berjalan kaki ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat maghrib berhampiran Jalan Tengku Chik, di sini.

Mangsa dikatakan ditetak pada bahagian kepala dan rusuk sehingga menyebabkan jubah putih yang dipakainya berlumuran darah sebelum rebah dan dikejarkan ke hospital oleh rakan-rakannya manakala dua lelaki berkenaan melarikan diri menggunakan motosikal.

Sementara itu, Pengerusi Veteran UMNO Kelantan Datuk Rozali Isohak ketika dihubungi tidak mengetahui motif serangan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan. — BERNAMA