Veteran Umno kesal pertemuan 17 MP Umno dengan Mohamed Azmin

Veteran Umno Malaysia kesal dengan pertemuan 17 orang Wakil Rakyat Umno di rumah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali pada malam 18 Nov lalu yang dirasakan tidak sewajarnya berlaku.

Mustapha Yaakub

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, perjumpaan tersebut dipercayai berkait dengan usaha untuk menyelamatkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dari undi tidak percaya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya lagi, alasan bahawa perjumpaan dilakukan untuk membincangkan projek dikawasan parlimen mereka adalah kebudak-budakan dan melucukan.
“kebiasaannya seorang wakil rakyat akan berjumpa seorang menteri di lejabat untuk berbincang hal projek dan bukannya di rumah menteri pada waktu malam dengan kumpulan yang besar.
“Ahli Umno bosan dengan perbuatan ‘baling batu sembunyi tangan’ wakil rakyat mereka yang tiada pendirian dan terhegeh-hegeh seperti ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’.
Veteran berpendapat MP Umno tidak sepatutnya terlibat dengan kemelut Pakatan Harapan (PH) sebab itu adalah masalah mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangkang sewajarnya bertindak menjauhkan diri dari turut terheret dan menjadi alat kepada pihak yang sedang bertelagah dalam PH.
“Veteran mendesak ‘pelakun-pelakun’ ini berhenti dari meneruskan ‘lakunan’ mereka yang boleh menjejaskan kredibiliti UMNO sebagai pembangkang yang berwibawa.
“Mereka wajib mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh MT yang menetapkan sebarang tindakan yang melibatkan parti hendaklah dibuat secara ‘en bloc’ dan tidak secara berkumpulan,” ujarnya.