Malaysia Dateline

Veveonah mangsa celupar Zahidi

Wanita Muda AMANAH (WARDA) mencadangkan agar Datuk Zahidi Zainul Abidin meletakkan jawatannya susulan kegagalan beliau sendiri dalam memperoleh maklumat sahih biarpun sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KMM).

Menerusi kenyataan Warda hari ini, Zahidi dibidas sebagai menjelikkan apabila memfitnah Veveonah Mosibin menipu dan hanya mahu menaikkan rating YouTube selepas video pelajar terbabit tular kerana memanjat pokok hanya untuk mendapatkan rangkaian internet bagi mengambil peperiksaan.

Tegasnya, Zahidi seharusnya memfokuskan untuk meningkatkan rangkaian internet di Sabah dan bukannya menuduh seorang pelajar menipu.

“Apabila kenyataan seperti ini dikeluarkan oleh Timbalan Menteri, ianya memberikan refleksi kepada kualiti kerja kementerian serta menjejas imej KMM secara keseluruhan.

“Selama ini Kementerian Komunikasi mempromosikan untuk meneyebarkan berita yang benar dan memastikan maklumat yang diterima sahih.

“Ironinya, menurut Timbalan KMM, Kementeriannya sendiri tidak dapat membekalkan maklumat yang sahih kepada beliau,” katanya.

Terdahulu, Zahidi, yang juga Ahli Parlimen Padang Besar membuat kenyataan dalam Dewan Negara bahawa kisah diceritakan pelajar dari Sabah dalam satu klip video YouTube adalah palsu dan sekadar untuk menaikkan nama sendiri.

Kenyataan beliau menerima kecaman hebat kerana fakta menunjukkan Veveonah memang mengambil peperiksaan pada hari yang dinyatakan.

Namun, beliau kemudiannya memuat naik hantaran di Facebook mengakui bahawa dakwaan itu adalah kesilapan ekoran maklumat tidak tepat yang diterimanya sewaktu menjawab soalan tambahan pada sesi Dewan Negara itu.

Justeru ujar Warda, tiada alasan bagi Timbalan Menteri bahawa beliau memperoleh maklumat yang salah.

“Adalah wajar Zahidi meletak jawatan memandangkan beliau telah menjadi liabiliti kepada Kementerian Komunikasi & Multimedia,” katanya lagi.