Satu rakaman memaparkan seorang murid perempuan di sebuah sekolah rendah yang jalan berjingkit dan dipimpin oleh dua kanak-kanak lain telah mengundang kata-kata pujian oleh orang ramai.
Mana tidaknya, rakaman berdurasi satu minit 22 saat itu bukan sahaja berjaya mengundang perasaan sebak orang ramai malah turut menimbulkan rasa kagum di atas sifat prihatin murid-murid Darjah Satu tersebut.
Dalam video tersebut, dapat dilihat kanak-kanak dikenali sebagai Dhia tidak mampu berjalan dengan baik namun dipimpin oleh dua rakannya untuk menuju ke kantin ketika waktu rehat.
Video tersebut dirakam sendiri oleh ibu Dhia yang merasa terharu di atas keprihatinan dua rakan anaknya sehingga sudi memimpin kanak-kanak terbabit ke kantin meskipun mereka semua masih kecil.
“Terima kasih tolong kakak. Sampai basahlah kasut kawan pijak air sebab nak hantar kakak untuk pergi makan dekat kantin. Terima kasih juga dekat Cikgu yang pantau Dhia dekat sekolah,” katanya menerusi ruangan kapsyen.
Perkongsian yang dimuat naik di platform TikTok itu juga memperlihatkan sikap mengambil berat kanak-kanak di sekolah tersebut di mana tiga murid perempuan lain turut mengiringi Dhia hingga sampai ke kantin.
Rakaman tersebut berjaya mencuri perhatian orang ramai yang tertanya mengenai keadaan Dhia berikutan berjalan secara berjingkit di ruangan komen hantaran itu sebelum ibunya tampil memberikan penjelasan.
Menurut sang ibu, Dhia dilahirkan secara pramatang di dalam keadaan normal namun diberitahu bahawa kanak-kanak itu tidak boleh berjalan seperti kanak-kanak lain ketika berusia dua tahun.
“Dhia jalan berjingkit. Tetapi dia tak memakai kerusi roda sebab masih boleh berjalan cuma lambat sedikit sahaja. Namun kalau berlari, dia laju. Dahulu Dhia memang tak boleh berjalan langsung.
“Namun selepas cuba mendapatkan rawatan dekat Perak, Alhamdulillah kakak sudah boleh berjalan dan duduk bersila. Banyak perubahan dia,” jelas sang ibu di ruangan komen untuk menjawab persoalan orang ramai.
Baca juga: Betul ke gaji YouTuber cecah RM360k sebulan? Che Nom dedah realiti sebenar jadi ‘content creator’