Malaysia Dateline

Video harimau kurus dalam semak tanpa pokok tular di media sosial

Kalau sebelum ini, harimau masuk kampung menjadi tular, kini video seekor harimau berjalan di dalam semak tanpa pokok di sekelilingnya yang dipercayai berlaku di Kelantan, tular di media sosial.

Antara yang berkongsi video ini adalah aktivis alam sekitar yang berusaha untuk menyelamatkan binatang yang sedang terancam akibat penggondolan hutan ini, Sharifah Sofia.

“(Video) Ini baru sahaja dikongsikan dengan saya. Ia disiarkan media sosial semalam. Saya tidak akan beritahu di mana kerana saya tidak mahu ia diburu, tetapi ia di Kelantan.

“Inilah yang berlaku apabila tidak ada lagi hutan!!! Lihatkan betapa kurusnya dia,” tulis Sharifah Sofia melalui Twitter beliau itu semalam.

Menurut Sofia, binatang yang cantik ini bukan keluar untuk suka-suka atau berjalan-jalan di dalam semak tanpa pokok itu.

“Mereka kekurangan makanan di habitat asal mereka. Mereka kehilangan tempat asal mereka. Ekosistem kita sedang musnah di depan mata kita tetapi kita tetap membutakan mata dan hidup dengan kepura-puraan.

“Ini mesti dihentikan,” kata Sofia menerusi Twitter beliau itu.

Sharifah Sofia adalah antara pejuang alam sekitar yang sedang berusaha menyedarkan manusia tentang bahayanya jika alam sekitar kita, terutamanya hutan simpan kekal di musnahkan.

Turut bimbang dengan apa yang berlaku adalah NgO SaveKelantan yang diketuai oleh Datuk Husam Musa. Husam dan rakan-rakannya mendedahkan bagaimana hutan simpan kekal yang sepatutnya tidak diusik sedang digondolkan khasnya di Kelantan atas nama membuat ladang hutan.

Sofia dan rakannya berjalan kaki dari Merapoh ke Kuala Lumpur bagi menuntut agar Harimau Malaysia diselamatkan.

Awal Mei lalu, Sofia dan rakan-rakannya berjalan kaki dari Taman Negara, Sungai Relau di Merapoh, Kelantan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut agar Harimau Malaysia dilindungi.

Menurut Sofia, perjalanan bagi menuntut agar tindakan menggondolkan hutan dihentikan itu memakan masa selama seminggu.

“Ini merupakan tindakan berjalan kaki sejauh 240 km yang diharapkan akan memakan masa seminggu,” kata Sofia melalui Twitter beliau.