Video ‘Kongres Barua’: Mohamad Sabu tak pasti apa Anwar cakap

Video ‘Kongres Barua’: Mohamad Sabu tak pasti apa Anwar cakap

“Saya pun tak pasti perkataan itu (barua). Kena tanya dia lah (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” jawab Mohamad Sabu ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Mohamad menjelaskan, pada ketika itu, Presiden PKR itu berada jauh di depannya dan beliau tidak boleh memastikan apa sebenarnya yang disebut oleh Anwar.

“Dia depan jauh daripada saya. Masa itu kami sedang keluar dari mesyuarat. Kena periksa dengan dia (Anwar) sendiri lah.

“Saya pun tak dengar. Saya dengar bila ada orang tunjuk video tersebut kepada saya. Ia rakaman dari jauh, kita pun tak tahu apa dia sebut sebenarnya,” katanya seperti dipetik dalam video Malaysia Gazette.

Semalam, tular video berdurasi 22 saat yang menunjukkan Ahli Parlimen Port Dickson itu berseloroh mengatakan Tun Dr Mahathir semakin bertenaga selepas memberi ucapan di Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Ahad lalu.

Anwar berkata, “Sejak balik daripada Kongres Maruah ini (Tun Mahathir) lain macam,”.

Bagaimanapun, ada setengah netizen berpendapat Anwar mengeluarkan kata kesat ‘Kongres Barua’ kepada Mahathir.