Video lucah komplot jahat jatuhkan saya, kata Azmin

Video lucah komplot jahat jatuhkan saya, kata Azmin

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tampil menepis dakwaan kononnya beliau merupakan salah seorang individu yang terlibat dalam video lucah yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Beliau dalam kenyataannya hari ini berkata, penularan video itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadiannya.

Tambahnya, siri fitnah itu sengaja ditimbulkan untuk menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

“Saya yakin kerja jijik ini telah dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadhan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang bersifat jahat dan kejam itu dan mengutuk perbuatan politik yang tidak bermoral.

“Saya telah mengarahkan para peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan-tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan akan menggunakan segala kaedah undang-undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terlibat dalam kerja jahat tersebut.

Katanya, beliau sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan pengecut dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari isu-isu negara yang lebih mendesak dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

“Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil segala langkah yang perlu berhubung tuduhan jahat ini.

“Sesungguhnya, ia tidak mempunyai tempat dalam era Malaysia Baharu, di mana kita sedang berusaha untuk membina semula negara melalui reformasi institusi dan berpegang kepada politik nilai yang luhur dan murni,” ujarnya.