Video nenek bongkok hulur sedekah jentik hati netizen, kongsi rezeki walau serba kekurangan

Oleh WAN SITI AMINAH

Melihat daripada fizikal tubuh bongkok dan sudah tidak mampu berdiri tegak dengan usia emas, pasti terlintas di fikiran orang ramai bahawa inilah golongan yang perlu dihulurkan bantuan.

Namun tidak bagi seorang nenek ini yang dirakam lensa kamera ketika berkongsi rezeki dengan menghulurkan sedekah kepada orang lain meskipun dirinya sendiri serba kekurangan.

Pemandangan menyayat hati di sebuah bangunan yang terletak di Petaling Jaya itu disedari oleh seorang wanita lalu bertindak merakamnya sebelum dikongsi di platform TikTok.

Menerusi rakaman berdurasi 51 saat itu, kelihatan warga emas mengenakan pakaian koyak di bahagian belakang badannya yang bongkok sedang mengira beberapa keping wang di tangannya.

Wang tersebut kemudian diberikan oleh nenek bongkok itu kepada seorang lelaki dipercayai orang kelainan upaya (OKU) penglihatan yang sedang duduk di kerusi menjual tisu untuk mencari rezeki.

Namun apa yang lebih memilukan adalah nenek terbabit turut berkongsi rezeki bersama seorang lagi warga emas duduk berdekatan dengan lelaki OKU itu walaupun baki wang untuk dirinya sendiri tidak mencukupi.

Warga emas yang berjalan perlahan-lahan dalam keadaan membongkok dengan berpakaian lusuh itu kemudian mengambil barang miliknya untuk berlalu pergi selepas selesai berkongsi rezeki.

“Masya-Allah. Walaupun keadaan nenek seperti ini, tetapi dia tidak lupa untuk berbagi (rezeki). Ya Allah, lindungi selalu beliau,” kata perakam video dalam perkongsian yang tular di media sosial itu.

Ketika ditanya mengenai keberadaan nenek berkenaan, perakam video memaklumkan bahawa warga emas itu sering dilihat berjalan di sekitar kawasan medan selera Seksyen 14, Petaling Jaya.

Perakam video juga mengakui selalu melihat orang awam turut menghulurkan sedekah kepada nenek bongkok itu sebelum rezeki yang diperoleh dikongsikan kepada orang lain.

Tular di media sosial, tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna merasa malu melihat tindakan warga emas terbabit sanggup berkongsi rezeki walau dirinya sendiri kekurangan.

Memberi pengajaran untuk tidak berkira terutama dalam bersedekah, ramai juga pengguna TikTok mendoakan kesihatan wanita lanjut usia itu selain meluahkan hasrat untuk membantunya dari segi kewangan dan pakaian.

Baca juga: Kerajaan dicadang sekat peminjam liat bayar PTPTN dari beli kereta dan melancong